Sukarelawan ketepikan risiko jangkitan Covid-19 demi bantu mangsa banjir


Elill Easwaran

Dr.Syazana Ali (kanan) bersama mangsa banjir yang menumpang tidur di rumahnya selepas terkandas akibat banjir yang melanda. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Disember, 2021.

WALAUPUN terfikir mungkin akan mendapat jangkitan Covid-19 namun itu tidak menghalang sukarelawan penyelamat banjir membantu mangsa yang terkandas di Shah Alam sepanjang hujung minggu lalu.

Malah Pengasas NobleDr Dr Syazana Ali turut memberikan perlindungan kepada 15 mangsa banjir di rumahnya sendiri selepas mendapati mereka terkandas.

Menceritakan pengalamannya kepada The Malaysian Insight katanya, dia hanya berniat membantu rakan yang memerlukan pada Sabtu tetapi akhirnya membawa pulang 15 mangsa banjir yang terkandas.

“Ketika pulang ke rumah saya ternampak sebuah keluarga bersama anak-anak kecil tidur di stesen minyak. Saya juga mendapat tahu ada doktor lain yang terkandas di klinik mereka jadi saya memutuskan untuk mengumpulkan mereka dan membawa pulang ke rumah saya.

“Saya boleh membawa lebih ramai mangsa tetapi kami tidak mempunyai ruang yang mencukupi dan kami juga tidak mempunyai bekalan elektrik akibat banjir, jadi saya tidak mahu memburukkan keadaan di rumah dengan lebih ramai orang,” katanya.

Dr Syazana berkata beliau tahu tentang risiko Covid-19 tetapi merasakan sebagai seorang doktor beliau harus membantu orang ramai semampunya.

Sebahagian daripada mereka menginap semalaman manakala yang lain sudah keluar pada pagi Isnin.

Bagi memastikan kesihatan dan keselamatannya sendiri dia melakukan ujian kendiri Covid-19 secara berkala.

Seorang lagi sukarelawan Muhammad Shafiq, 29, bimbang apabila menyedari tiada seorang pun mangsa banjir yang terkandas memakai topeng pelitup muka.

“Saya takut tetapi saya juga merasakan masa seperti ini kita perlu melakukan apa sahaja. Jika kita tidak membantu antara satu sama lain, tiada siapa yang akan membantu.

“Saya memberitahu rakan-rakan yang ingin membantu tetapi mempunyai warga emas di rumah mereka agar tidak menyertai supaya mereka tidak mendedahkan orang tua mereka kepada risiko jangkitan,” kata Shafiq yang memakai topeng pelitup muka semasa menjadi sukarelawan walaupun menyedari ia sangat tidak selesa.

Jeremy Tiew, 26, dari Damansara berkata dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng pelitup muka dan juga sarung tangan.

“Saya melakukan ini kerana saya tahu sebenarnya adalah mustahil untuk mengekalkan jarak sosial,” katanya.

Tiew yang membantu dengan membawa bekalan makanan kepada mangsa yang terkandas berkata pihak berkuasa perlu menyediakan alat perlindungan diri (PPE) kepada sukarelawan di pusat pemindahan.

Terdapat kebimbangan berkenaan penularan Covid-19 apabila jumlah mangsa banjir di seluruh negara semakin meningkat. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pada Isnin kementerian sedang bersiap sedia untuk berdepan lebih banyak jangkitan Covid-19 selepas mengesan 181 kes baharu dalam kalangan mangsa banjir di pusat pemindahan.

“Kebanyakan kes adalah kategori 1 dan 2,” katanya merujuk kepada kategori jangkitan ringan.

Mangsa banjir yang positif Covid-19 akan dipindahkan ke hospital dan mereka yang dianggap kontak rapat ditempatkan di pusat kuarantin.

Banjir paling teruk berlaku pada Sabtu dan Ahad selepas hujan berterusan sejak Jumat. Lapan negeri di Semenanjung Malaysia - Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak - terjejas teruk.

Setakat semalam seramai 32,044 mangsa banjir ditempatkan di 162 pusat pemindahan sementara di sembilan daerah di Selangor dengan Klang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 18,858 orang. – 21 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen