Jangan abaikan kami, kata mangsa banjir Pahang


Ragananthini Vethasalam

Pengguna media sosial di Pahang menggunakan Twitter untuk menjelaskan keadaan di negeri itu yang turut terjejas teruk ketika perhatian lebih diberikan terhadap keadaan di Selangor. – Gambar Facebook, 20 Disember, 2021.

TOLONG jangan fokus kepada Selangor sahaja, kata mangsa banjir Pahang yang terjejas teruk sambil meminta tolong.

Pengguna media sosial di negeri itu menggunakan Twitter untuk menjelaskan keadaan di Pahang yang turut terjejas teruk ketika lebih perhatian diberikan kepada situasi di Selangor.

Ketika ini, beberapa pengguna telah berkongsi semula ciapan yang berbunyi:

“Tolong jangan fokus kawasan Selangor sahaja! Kami di Karak, Bentong, Lanchang dan Pahang juga perlukan pertolongan!!! Dah dua hari stuck satu bantuan makanan pon takde. Rt untuk tolong mangsa banjir.”

Ciapan ini telah ditwit semula lebih 14,000 kali.

@min_dy0 berkata mangsa di Bentong memerlukan bantuan.

“Sila jangan fokus kawasan Selangor/Shah Alam sahaja. Kami di Bentong Pahang turut banjir teruk dan memerlukan bantuan keperluan makanan dan pakaian. Bantu kami di sini,” katanya.

@YM_Nik95 mempersoalkan mengapa negeri lain tidak mendapat liputan seperti di Selangor.

“Kenapa negeri2 lain yang sama terjejas tak dapat liputan meluas macam negeri Selangor pasal banjir ni??? Yang dekat Pahang ni sampai berebut ambil makanan sebab bekalan tak cukup. Belum lagi dengan banjir makin buruk walaupun tak hujan,” katanya.

Adun Ketari Young Syefura Othman memberitahu The Malaysian Insight berlaku bantuan lewat sampai kerana kurang persediaan menghadapi banjir.

“Banjir di Ketari kali ini adalah yang paling teruk sekali. Saya tidak menerima apa-apa peruntukan dari kerajaan negeri mahupun persekutuan,” kata penolong setiausaha Wanita DAP itu ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semua perbelanjaan rakyat Ketari diperoleh hasil sumbangan orang ramai yang disalurkan ke akaun Pusat Khidmat DUN Ketari.

Bagaimanapun, katanya, kesemua mangsa telah diselamatkan dan mereka kini dalam proses membersihkan rumah mereka.

Sementara itu, seperti Selangor, permintaan bot dari Pahang juga tinggi.

Setakat ini, seramai 9,181 orang daripada 7,738 keluarga mencari perlindungan di 242 pusat pemindahan sementara. – 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen