Santiago gesa Putrajaya perhebat operasi menyelamat


Elill Easwaran

Beliau memberitahu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa alasan paras air tinggi menghalang kerja menyelamat dan pengagihan makanan adalah tidak boleh diterima. – Gambar Facebook, 20 Disember 2021.

PUTRAJAYA mempunyai aset dan pasukan yang diberi latihan profesional untuk melancarkan operasi menyelamat pantas dan tidak seharusnya memberi alasan, kata Charles Santiago kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Beliau memberitahu perdana menteri bahawa alasan paras air tinggi menghalang kerja menyelamat dan pengagihan makanan adalah tidak boleh diterima.

“Kalau pejabat saya boleh menyewa trak besar untuk menghantar barang keperluan dan makanan, maka kerajaan harus menambah baik cara pengurusan mereka,” katanya kepada Ismail semasa persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Klang itu menyiarkan gambar dan komennya bersama perdana menteri di akaun Facebook rasmi milik beliau.

Santiago berkata, kebanyakan makanan yang dihantar semalam kepada mangsa diuruskan pejabatnya, tanpa sokongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata adalah mustahil untuk pihaknya mengagihkan makanan dan minuman kepada semua mangsa banjir di Klang.

Di Klang, Taman Sri Muda adalah salah satu kawasan yang paling teruk terjejas di mana penduduk terkandas di atas bumbung atau di tingkat atas rumah.

Penduduk terpaksa menghantar rayuan bantuan di media sosial sejak Sabtu, selepas paras air naik dengan pantas dan bantuan daripada pihak berkuasa tidak kelihatan.

“Mereka belum menerima sebarang bantuan selama 48 jam ini. Keselamatan dan nyawa mereka sedang terancam.

Terdahulu, beberapa sukarelawan memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka memutuskan untuk membantu penduduk Taman Sri Muda selepas menyedari operasi menyelamat tidak dilakukan.

Mereka mendayung bot untuk menghantar makanan dan juga untuk membawa beberapa penduduk ke tempat yang selamat.

Tinjauan The Malaysian Insight di tempat kejadian mendapati sekurang-kurangnya 100 orang menawarkan diri sebagai sukarelawan.

Paras air banjir di kawasan itu mencecah kedalaman 8 kaki (2.44 meter).

Sementara itu Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan menolak gesaan daripada ahli Parlimen untuk membahaskan isu mengenai banjir di Lembah Klang kerana hanya ada satu perkara dalam agenda.

“Kita hanya ada satu agenda hari ini, iaitu perbahasan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit,” kata Azhar kepada Dewan Rakyat hari ini.

“Ia juga terpulang kepada menteri untuk memutuskan bila mereka mahu memberi taklimat dan kemudian memaklumkan kepada saya. Begitu caranya.

“Kita perlu ikut peraturan dan tidak melompat dari satu isu ke satu isu,” kata bekas peguam itu sebagai respons kepada Lim Guan Eng (Bagan-PH), Ahmad Maslan (Pontian-BN) dan Mohamad Sabu (Kota Raja-PH), yang meminta isu banjir dibuka untuk dibahaskan. – 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen