Nurul Izzah sudah gesa Putrajaya buat pelan tebatan banjir sejak Julai


Ragananthini Vethasalam

AHLI Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar membidas kerajaan kerana leka menyediakan pelan tebatan banjir walaupun beliau telah memberi amaran tentang musim tengkujuh yang semakin hampir.

“Kelalaian dan kelewatan menyediakan pelan strategi tebatan banjir akhirnya akan memberi impak kepada rakyat terbanyak, sedang kita bergelut menghadapi pandemik Covid-19 dengan kewujudan varian baharu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Nurul Izzah berkata sejak 2018 beliau bertemu dengan pakar tebatan banjir dari Pulau Pinang Jhovanz Tan bagi membincangkan alternatif terbaik untuk mengatasi isu banjir khususnya di Permatang Pauh.

“Saya berharap alternatif ini akan diterima pakai di beberapa kawasan kelak,” katanya.

Nurul Izzah turut menggesa mangsa banjir yang terkandas supaya menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.

Klip beliau menggesa Putrajaya tentang musim tengkujuh dan banjir yang boleh membawa kepada krisis juga telah tular sejak banjir melanda Lembah Klang.

Pada hujung minggu lalu, Selangor melihat apa yang disebut-sebut sebagai banjir paling dahsyat selepas hujan lebat berterusan selama dua hari.

Selain Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Malacca juga turut dilanda banjir. – 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen