Fokus salur bekalan makanan di Sri Muda, kata MB Selangor


Elill Easwaran

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata tumpuan utama ketika ini adalah memastikan penduduk yang terjejas banjir di Sri Muda mendapat bekalan makanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Disember, 2021.

TUMPUAN utama dalam operasi menyelamat di kawasan Sri Muda dan Seksyen 25 Shah Alam adalah memastikan penduduk mendapat makanan, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

“Ramai juga yang tidak mahu pindah. Tumpuan utama waktu ini adalah bekalan makanan,” katanya menerusi Twitter.

Menurutnya lebih ramai lagi akan dipindahkan dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan aset bomba.

“Lebih 30 bot sedang membantu memindahkan mangsa sekarang,” katanya.

Awal hari ini dalam hantaran di Facebook Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata kerajaan perlu mengerahkan tentera, bot dan pasukan penyelamat dengan segera untuk memindahkan mangsa yang terkandas di Taman Sri Muda ke tempat selamat. 

“Kita tidak boleh buang masa lagi untuk menyelamat. Kawasan itu tidak mempunyai bekalan elektrik dan ini menyukarkan kerja menyelamat dan pemindahan,” katanya.

Penduduk Taman Sri Muda di Shah Alam kehabisan makanan apabila ada yang kelaparan selama dua hari walaupun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berjanji mereka akan diselamatkan.

Beberapa mangsa masih menunggu untuk dipindahkan apabila mereka menghantar panggilan SOS untuk bot penyelamat. Ramai mangsa banjir dilihat merayu meminta bantuan di Facebook.

Ada yang meminta pertolongan bagi pihak saudara mereka yang sakit dan tua di media sosial.

Rashmi Balakrishnan berkata enam sekeluarga terperangkap tanpa makanan dan elektrik.

Kee Ai Ling berkata keluarga rakannya terperangkap di rumah tanpa makanan sejak dua hari lalu.

Kee berkata ibu rakannya tidak mempunyai ubat bagi merawat penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes yang dihadapinya. – 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen