EU terima 20 juta vaksin tambahan tahun depan


Negara EU akan mendapat tambahan 5 juta dos Pfizer-BioNTech pada Januari, 5 juta pada Februari dan 10 juta pada Mac 2022. – Gambar EPA, 20 Disember 2021.

ANGGOTA Kesatuan Eropah (EU) akan memperoleh tambahan 20 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dalam tiga bulan pertama 2022 untuk melawan varian Omicron yang merebak pantas, kata Suruhanjaya Eropah pada Ahad.

Pengumuman itu dibuat ketika Eropah bersiap sedia berdepan gelombang Covid-19 baharu, dicetus varian Omicron yang bermutasi dan boleh ditularkan serta tersebar dengan aktiviti sosial semasa cuti Krismas.

Banyak negara meningkatkan pemberian vaksin dan mengenakan semula sekatan perjalanan dan sekatan lain untuk cuba menghentikan jangkitan beberapa minggu selepas varian itu mula-mula dikesan di Afrika Selatan.

Negara anggota akan mendapat tambahan 5 juta dos Pfizer-BioNTech pada Januari, 5 juta pada Februari dan 10 juta pada Mac, kata Suruhanjaya dalam satu kenyataan.

“Dos ini tambahan bagi 195 juta dos yang dijadualkan daripada Pfizer-BioNTech, menjadikan jumlah penghantaran pada suku pertama kepada 215 juta.”

Pemvaksinan lengkap dan dos penggalak “kini lebih mendesak berbanding sebelum ini” memandangkan “jangkaan peningkatan pesat jangkitan disebabkan varian Omicron”.

EU dijangka menerima 650 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech secara keseluruhan pada 2022.

Omicron dijangka menjadi strain dominan menjelang pertengahan Januari di EU, dengan 67% daripada populasinya sudah diberi vaksin lengkap. – AFP, 20 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen