Bantuan RM1,000 tidak cukup, kata mangsa banjir


Ravin Palanisamy

Mangsa bersyukur dengan bantuan yang dijanjikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tetapi merasakan ia tidak mencukupi untuk pulih daripada bencana ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Disember 2021.

BANTUAN RM1,000 yang dijanjikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk isi rumah yang terjejas akibat banjir tidak mencukupi untuk menampung kerosakan yang ditanggung, kata mangsa.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, keluarga yang terjejas ini berkata walaupun mereka mengalu-alukan bantuan kerajaan, mereka bagaimanapun mengalami kerugian besar yang tidak sama dengan sumbangan yang dijanjikan kerajaan.

Sufrina Mamadi, 48, dari Rancangan Tanah Belia Labu Lanjut, Sepang menyifatkan keadaan di rumahnya sebagai “musnah sepenuhnya”.

Beliau berkata air banjir di rumahnya berada di paras dada dan kebanyakan barangan rumahnya rosak.

“Rumah saya musnah sepenuhnya. Peralatan elektrik, perabot, barangan rumah, semuanya hilang,” katanya.

“Baru-baru ini saya menukar peti sejuk dan sekarang disebabkan banjir ini, kemungkinan besar saya terpaksa menukarnya atau menghantarnya untuk dibaiki, yang saya tidak tahu berapa harganya.

“Kami memang gembira kerana perdana menteri memberi kami bantuan tetapi adakah untuk kami pulih daripada banjir atau apa, kerana jumlah itu tidak akan pernah mencukupi. Kami pasti tidak dapat pulih dengan jumlah itu,” kata ibu kepada tiga anak dan suri rumah yang berlindung di Sekolah Kebangsaan Kg Baharu Lanjut.

The Malaysian Insight meninjau beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sepang, Selangor untuk memantau keadaan dan berbual dengan mangsa yang terjejas.

Awal hari ini, Ismail berkata Putrajaya akan memperuntukkan RM100 juta untuk pembaikan pasca banjir bagi kediaman dan infrastruktur yang terjejas akibat bencana alam di seluruh negara.

Beliau berkata jumlah itu adalah pembiayaan awal dan jika tidak mencukupi, kerajaan akan menambah.

Beliau juga mengumumkan bahawa ketua isi rumah yang terjejas masing-masing akan menerima bantuan RM1,000.

Seorang lagi mangsa banjir, Salwa Ibrahim, 46, dari Taman Dataran Abadi, Sepang berkata beliau memerlukan hampir RM10,000 untuk kerja-kerja pembaikan dan penggantian pasca banjir.

Katanya paras air meningkat melebihi paras pinggangnya, merosakkan beberapa barangan rumah dan menyebabkan dua keretanya terperangkap.

“Air berada di paras pinggang dan berlaku banyak kerosakan termasuk peralatan elektrik dan perabot.

“Kerugian, tidak termasuk dua kereta kami, yang terperangkap, saya rasa sepatutnya berada di sekitar RM10,000.

“Jadi, dengan apa yang diumumkan perdana menteri, saya rasa ia hanya mencukupi untuk membersihkan rumah kerana keadaan di dalam rumah itu benar-benar teruk dan ia tidak akan pernah cukup untuk menampung keseluruhan kerugian. Dalam kes ini, kita hanya mampu berserah,” kata pegawai bank dan ibu kepada empat anak. – 19 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen