GURU sekolah Tamil, L Subbarau@Kamalanathan didapati bersalah atas lima pertuduhan dan dipenjara lima tahun di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.
Subbarau didakwa di bawah Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 pada 15 Disember 2014 kerana didakwa memiliki imej kertas peperiksaan UPSR 2014.
Guru itu didakwa memiliki beberapa muka surat kerta Matematik Kertas 1 dan 2, Bahasa Tamil (Kefahaman) dan Tamil (Penulisan) serta kertas Sains dalam telefon pintar jenis Samsung Galaxy Note 2 miliknya antara 8 hingga 16 September 2014.
Guru berusia 38 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun untuk setiap pertuduhan. Hakim Mahkamah Sesyen Suresh Gopalan yang menjatuhkan hukuman memerintahkan hukuman dijhalankan serentak.
Seorang lagi guru, Murugan Palanisamy akan dibicarakan bulan depan.
Subbarau pada mulanya didakwa dibawah Akta Majlis Peperiksaan tetapi pendakwaan itu ditarik balik. Dia kemudian didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Pada 2015, Hakim Mahkamah Sesyen Jagjit Singh memutuskan tiada kes prima facie dan membebaskan tertuduh.
Antara lapan penghakiman dikeluarkan Jagjit adalah pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki kertas soalan bercetak atau pengetahuan awal yang imej itu berkaitan dengan kertas peperiksaan UPSR 2014.
Hakim juga mengatakan tiada bukti menunjukkan Subbarau memperolehi kertas soalan dan menyimpannya bertentangan dengan OSA.
“Penjenayah sebenar yang membocorkan kertas UPSR 2014 tidak pernah ditangkap atau didakwa di mahkamah,” kata peguam Subbarau, M Kulasegaran hari ini.
Peguam itu juga menimbulkan isu permohonan pembelaan untuk memanggil Pengarah Majlis Peperiksaan Malaysia Dr Naimah Ishak untuk soal balas dan bekas Menteri Pendidikan Muhyiddin Yassin bagi menyokong kes pembelaan ditolak.
Hakim Suresh bagaimanapun membenarkan hukuman ditangguhkan sehingga rayuan dilakukan, Subbarau juga diminta melaporkan diri di IPD Seremban setiap Ahad minggu ketiga setiap bulan, menyerahkan pasport dengan ikat jamin RM3,000.
Pihak pembelaan diwakili oleh Kula Segaran dan Omar Kutty, sementara Timbalan Pendakwaraya Wan Ladin dan Terrirddin membuat pendakwaan. – 2 Febuari, 2018.
Komen