PARTI Bersatu melancarkan tabung bantuan banjir dengan dana permulaan sebanyak RM1 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara, kata Presidennya Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, cadangan penubuhan tabung itu adalah saranan daripada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.
Katanya, ahli parti turut diseru menyumbangkan apa yang termampu bagi meringankan beban rakyat yang terjejas teruk ekoran bencana itu.
“Saya juga mengarahkan semua jentera parti dan jentera parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk turun ke kawasan yang terjejas bagi bantu semua mangsa terbabit sebaik selesai Perhimpunan Agung Tahunan keempat Bersatu hari ini.
“Jika ada yang terpaksa pulang selepas menghadiri perhimpunan ini atau terpaksa balik sekarang, maka pergilah. Kita tidak akan halang, yang penting ialah rakyat. Kita adalah parti yang mendukung dan sentiasa prihatin dengan masalah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan keempat Bersatu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), di Kuala Lumpur.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN turut menzahirkan rasa dukacita terhadap bencana banjir yang melanda beberapa negeri.
Selain itu, Muhyiddin berkata, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini terpaksa diteruskan bagi memenuhi kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966. – Bernama, 19 Disember, 2021.
Komen