KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 29 kematian baharu Covid-19 semalam, meningkat daripada 18 kematian yang dilaporkan sehari sebelumnya.
Data KKM yang disiarkan di GitHub menunjukkan semua kematian yang dilaporkan semalam, termasuk tujuh kematian di luar hospital adalah kes tertunggak.
Angka terkini menjadikan jumlah kematian negara kepada 31,073, manakala jumlah kumulatif di bawah kategori kematian di luar hospital sebanyak 6,282.
Angka kematian harian ialah jumlah kematian yang dilaporkan pada hari itu, ditambah kes yang baharu disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan disebabkan oleh Covid-19.
Perak melaporkan kematian tertinggi sebanyak tujuh kes semalam.
Lembah Klang melaporkan lapan kematian, manakala Selangor melaporkan enam dan Kuala Lumpur dua.
Putrajaya tidak melaporkan sebarang kematian baharu.
Negeri lain yang melaporkan kematian ialah Sabah (4), Pulau Pinang dan Kedah (masing-masing 3), Johor, Melaka, Pahang dan Sarawak (masing-masing 1).
Selain Putrajaya, Kelantan, Negeri Sembilan, Perlis, Terengganu dan Labuan turut tidak melaporkan sebarang kes kematian akibat koronavirus.
Daripada lapan kes kematian di luar hospital, tiga kes berlaku di Sabah, Selangor (2), Perak dan Kuala Lumpur (masing-masing 1).
Kadar kematian virus tempatan berada pada 0.7%, manakala purata nasional bagi kematian Covid-19 ialah 11 orang bagi sejuta populasi. – 19 Disember, 2021.
Komen