Bukan pendaratan cemas, kata pejabat KM


Tangkap layar helikopter yang membawa Abang Johari Openg terpaksa mendarat di padang kawad Unimas. – Gambar Facebook, 18 Disember, 2021.

PEJABAT Ketua Menteri Sarawak menafikan laporan helikopter yang membawa Abang Johari Openg dan rombongan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Kuching petang ini.

Menurut kenyataan pejabat ketua menteri, tidak timbul isu pendaratan cemas seperti yang dilaporkan kerana juruterbang memilih untuk mendarat di padang kawad Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) susulan cuaca buruk kerana hujan lebat dan tahap penglihatan yang rendah selepas ketua menteri itu bersama rombongannya pulang dari Gedong.

Kenyataan itu turut mengesahkan semua penumpang selamat.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 30 saat, yang memaparkan helikopter itu membuat pendaratan cemas dalam keadaan cuaca buruk, tular di sosial media.

Abang Johari, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), adalah calon gabungan politik itu di kerusi Dewan Undangan Negeri Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengundian hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca yang agak buruk di beberapa kawasan pilihan raya. – Bernama, 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen