Ikan segar sejuk beku bantu stabil harga pada musim tengkujuh, kata KPDNHEP Kelantan


Program jualan Keluarga Malaysia diadakan di seluruh negara secara serentak. – Gambar Facebook, 18 Disember, 2021.

TAWARAN harga ikan segar sejuk beku di negeri ini menjadi alternatif kepada pengguna selain dapat membantu menstabilkan harga ikan pada musim tengkujuh.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Adnan Abd Rahman, berkata inisiatif itu dilakukan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam memastikan bekalan ikan segar sejuk beku yang terdapat di pasaran mencukupi.

“Sebagaimana kita sedia maklum, ikan segar memang sukar untuk diperoleh ketika musim tengkujuh kerana rata-rata nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Oleh itu, apabila ada bekalan ikan segar sejuk beku dari LKIM ia dapat membantu masalah yang dihadapi oleh rakyat selain harga yang dijual lebih murah,” katanya kepada pemberita pada program jualan Keluarga Malaysia di Pasar Tani Ayer Lanas, di Jeli hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiga kompaun dikenakan kepada peniaga yang melanggar peraturan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sejak ia mula dilaksanakan pada 7 Disember.

Adnan berkata, antara kesalahan itu termasuk tidak meletakkan tanda harga dan tanda harga berwarna merah jambu yang diwajibkan untuk diletakkan pada barangan kawalan.

“Pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu setakat ini, kami dapati harga barangan keperluan menurun contohnya harga ayam mentah yang sebelum ini mencecah RM10 sekilogram namun kini boleh didapati pada harga RM6.99 sekilogram.

“Kami harap peniaga dapat menurunkan harga seperti yang ditetapkan, selain pengguna juga dinasihatkan bijak menggunakan kuasa beli dengan melakukan perbezaan harga di kawasan berhampiran menerusi aplikasi yang diperkenalkan KPDNHEP iaitu Price Catcher,” katanya. – Bernama, 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen