Mangsa bantu baiki Proton Wira rosak sebelum dirempuh treler, kata bomba


Alfian Z.M. Tahir

Kemalangan di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam malam tadi menyebabkan 10 maut, manakala 7 lagi cedera. – Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 18 Disember, 2021.

SEORANG daripada 17 mangsa kemalangan di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam malam tadi adalah mekanik yang sedang membaiki sebuah Proton Wira yang rosak di lorong kecemasan sebelum dirempuh sebuah treler, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Berdasarkan keterangan saksi, treler tersebut merempuh belakang Proton Wira berkenaan serta kereta milik mekanik itu, dan Perodua Axia yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

“Rempuhan menyebabkan 10 individu meninggal dunia di tempat kejadian,” kata jurucakap JBPM Selangor. 

Mangsa yang meninggal dunia membabitkan mekanik tersebut serta seorang wanita dan lapan anaknya yang menaiki kereta Proton Wira tersebut, katanya. Pemandu Perodua Axia, lelaki berusia 21 tahun, pula berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata kemalangan turut menyebabkan tujuh yang lain cedera.

Norazam dalam kenyataan pagi tadi berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan, Muhammad Raid Fathi Abd Razak, Puteri Nur Ain Syalwana Abd Razak, 3; Muhammad Hidayat Hakimie Abd Razak, 7; Muhamad Rolkaizat Rezky Abd Razak, 9; Muhamad Aizat Syazwan Abd Razak, 10; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Razatul Aliah Abd Razak, 16; Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17.

Mekanik  yang maut dikenali sebagai Mohamad Rahimibin Rolex berusia 27 tahun.

“Mangsa yang cedera suami kepada Norul Naziah dikenali sebagai Abd Razak Majit, 50; dan sepupu mereka Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun,” katanya.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Beliau berkata individu yang menaiki treler tidak mengalami sebarang kecederaan dikenali sebagai Mohd Khairol Kamal Abdullah, 45; serta dua anaknya Haiqal Haziq, 19; dan Hafiey Hamziey, 14. – 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen