Kanada tarik balik sekatan perjalanan pengembara 10 negara Afrika


Kanada menarik balik sekatan perjalanan ke atas pengembara dari Afrika Selatan, Mozambique, Botswana, Zimbabwe, Lesotho, Eswatini, Namibia, Nigeria, Malawi dan Mesir. – Gambar EPA, 18 Disember, 2021.

KANADA menarik balik sekatan perjalanan ke atas pengembara asing dari 10 negara Afrika, umum Menteri Kesihatan Jean-Yves Duclos semalam.

Negara itu bagaimanapun akan mewajibkan semula ujian saringan Covid-19 bagi membendung penularan varian Omicron yang merebak dengan pantas, kata Duclon pada sidang media.

Katanya, sekatan perjalanan ke atas pengembara dari Afrika Selatan, Mozambique, Botswana, Zimbabwe, Lesotho, Eswatini, Namibia, Nigeria, Malawi dan Mesir akan ditamatkan pada Sabtu, jam 11.59 malam.

“Sekatan perjalanan diumumkan bulan lalu untuk memperlahankan penularan varian Omicron ke Kanada, dan memberi kita sedikit masa.

“Oleh kerana Omicron kini sudah menular di Kanada, sekatan tidak lagi diperlukan,” kata Duclon.

Susulan itu katanya, Kanada akan menguatkuasakan semula ujian PCR sebelum ketibaan mulai 21 Disember ini. 

Beliau turut menegaskan sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk mengembara ketika kemuculan Omicron, mengulangi amaran kerajaan awal minggu ini.

Berdasarkan keputusan ujian makmal yang dikeluarkan semalam, hampir 350 kes varian Omicron telah dikesan di seluruh Kanada.

Ketua Pegawai Kesihatan Awam Theresa Tam berkata purata angka harian kes Covid-19 juga melonjak 45% minggu lalu kepada kira-kira 5,000 jangkitan.

Semalam, wilayah Ontario dan British Columbia menguatkuasakan semula had bilangan perhimpunan kepada hanya 10 individu sepanjang cuti Krismas. Peraturan itu terlebih dahulu dikuatkuasakan di Quebec mulai Khamis.

Manakala kapasiti restoran, gimnasium, pasar raya dan tempat lain dikurangkan sehingga 50%.

“Tiada apa yang akan menghalang Omicron daripada menular, ia merebak dengan pantas,” kata  Ketua Menteri Ontario Doug Ford pada satu sidang media. – AFP, 18 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen