PERDANA Menteri Perancis Jean Castex menyifatkan penyebaran varian Omicron di Eropah sebagai “kilat”, sambil menambah ia akan menjadi varian yang dominan di Perancis mulai awal 2022.
Menurut Castex walaupun masih banyak yang tidak diketahui tentang varian itu “ia nampaknya tidak lebih berbahaya daripada varian Delta dan data yang tersedia kepada kami menunjukkan bahawa perlindungan vaksinasi lengkap dengan dos penggalak melindungi dengan baik daripada bentuk penyakit yang teruk”.
Mengikut angka terkini, hampir 3,000 orang dirawat di unit rawatan rapi Covid-19 di Perancis.
Sementara itu, orang ramai layak menerima suntikan penggalak empat bulan dari tarikh vaksin kedua mereka berbanding lima bulan sebelum ini, tambah Castex.
Beliau berkata kerajaan akan mengumumkan langkah baharu untuk menangani mereka yang tidak mengambil vaksinasi mulai tahun depan.
“Walaupun kami telah memberi masa, banyak masa untuk orang Perancis yang teragak-agak dan mempunyai keraguan, pada bulan Januari kami akan mengukuhkan insentif untuk vaksinasi, kerana penolakan beberapa juta rakyat Perancis untuk divaksinasi tidak boleh diterima yang mana ia meletakkan nyawa seluruh negara dalam bahaya,” katanya.
Mulai Sabtu, pengembara perlu memberi alasan kukuh untuk melakukan perjalanan antara Britain dan Perancis, di bawah peraturan baharu yang diumumkan pada Khamis oleh Perancis bagi memerangi varian Omicron Covid-19. – AFP, 18 Disember, 2021.
Komen