Ada lebih banyak bukti disekat dalam kes SRC Najib, kata peguam


Aminah Farid

Ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah (kiri) berkata pasukannya sedang mendapatkan dokumen tertentu dan akan kemuka permohonan kepada Mahkamah Persekutuan supaya dijadikan bukti baharu rayuan Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2021.

PASUKAN peguam Najib Razak dalam kes SRC International Bhd mendakwa tidak semua bukti berkaitan kes itu didedahkan kepada pihak pembelaan.

Ketua peguam bela Muhammad Shafee Abdullah berkata pasukannya sedang mendapatkan dokumen tertentu dan akan kemuka permohonan kepada Mahkamah Persekutuan supaya dijadikan bukti baharu rayuan Najib.

“Kami dapati ada lebih banyak bukti yang telah disekat (daripada pasukan pembelaan Najib), yang kami tidak dimaklumkan sama ada oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau polis.

“Kami akan kemuka permohonan lain untuk dijadikan sebagai bukti baharu,” kata Shafee, tanpa mendedahkan apakah bukti baharu itu.

Pasukan itu, katanya, perlu mengesahkan bukti terlebih dahulu sebelum mendedahkannya kepada mana-mana pihak.

“Kami tidak boleh dedah sekarang sebab kami perlu sahkan terlebih dahulu. Jika tidak, ia cuma cakap kosong.”

Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai tahun lepas. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Beliau juga gagal membatalkan sabitan dan hukuman yang dikaitkan dengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Rayuan pada 8 Disember.

Bekas perdana menteri itu kini membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Shafee berkata mereka berharap dapat kumpul bahan itu dan menyerahkannya sebagai bukti baharu dalam tempoh dua bulan.

“Kadang-kadang, apabila kita ingin cari dokumen, dalam keadaan di mana pihak berkuasa secara aktif cuba sembunyikan daripada kita, susah kita hendak cari.

“Tetapi insya-Allah, kami akan dapatkannya,” kata Shafee.

Selain SRC, Najib juga berhadapan perbicaraan jenayah yang dikaitkan dengan kerugian dana utama 1MDB selain didakwa mengganggu laporan audit. – 17 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen