Rakyat Sarawak perlu ketuai 'Pertempuran Malaysia Baharu 2.0', kata Kit Siang


Ravin Palanisamy

Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak esok, veteran DAP Lim Kit Siang menggesa rakyat negeri itu bangkit dan memimpin rakyat Malaysia dalam Pertempuran Malaysia Baharu 2.0 untuk menjulang kembali negara dipersada dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Disember, 2021.

PILIHAN raya negeri Sarawak esok bakal menjadi pilihan raya paling penting dalam sejarah negara kerana ia batu loncatan menjulang kembali Malaysia dipersada dunia, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Beliau menggesa rakyat Sarawak bangkit dan memimpin rakyat Malaysia dalam “Pertempuran Malaysia Baharu 2.0”, menggesa melantik calon Pakatan Harapan (PH) bagi membawa perubahan kepada negara dalam beberapa dekad akan datang.

“Dalam tempoh setengah abad yang lalu, Malaysia telah kalah kepada negara lain, terlebih dahulu diatasi oleh Taiwan, kemudian Korea Selatan, Singapura dan Vietnam dan jika kita tidak bangkit, kita akan kalah kepada negara lain dalam dekad akan datang – termasuklah Indonesia,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Kini kita mesti bersedia untuk Pertempuran Malaysia Baharu 2.0 untuk memastikan dalam masa empat atau lima dekad, Malaysia boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

“Ini boleh dilakukan dengan syarat rakyat Malaysia mempunyai visi dan stamina untuk objektif sebegitu, dan saya menyeru pengundi Sarawak esok untuk memberikan kepimpinan dalam komitmen sedemikian apabila mereka membuang undi dalam pilihan raya Sarawak.”

Lim berkata pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) cukup yakin mereka akan kembali sebagai kerajaan negeri Sarawak dengan majoriti dua pertiga.

Beliau menggesa pengundi supaya tidak memecahbelahkan undi dan bersatu di belakang DAP, menafikan majoriti dua pertiga GPS dengan mengundi sekurang-kurangnya 28 Adun PH.

Pengundian untuk pilihan raya negeri Sarawak akan berlangsung esok.

Seramai 349 calon bertanding di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ketika ini, gabungan GPS menyandang 67 daripada 82 kerusi DUN negeri tersebut.

Lim yang merupakan ahli Parlimen Iskandar Puteri turut memuji keputusan meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada Selasa, memberikan pengiktirafan sebenar kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila menyertai Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata kelulusan rang undang-undang itu akan membatalkan ketidakadilan Pindaan Perlembagaan 1976 yang menyebabkan rakyat Sarawak kehilangan hak mereka di bawah MA63 selama setengah abad dari segi peruntukan kewangan yang adil, autonomi negeri yang bermakna terutamanya dalam pendidikan dan kesihatan, pembahagian hasil minyak yang adil dan prospek pembangunan yang saksama.

Lim berkata DUN Sarawak yang baharu mesti menuntut pampasan yang adil daripada kerajaan Persekutuan untuk pengabaian selama setengah abad. 

“Tetapi apa yang berlaku di Parlimen pada 14 Disember ini hanyalah langkah pertama dalam perjalanan panjang untuk memulihkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak seperti yang dijanjikan dalam MA63.

“DAP telah dibuktikan betul dalam sejarah, di mana hanya sembilan orang ahli Parlimen DAP yang mengundi menentang Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan 1976, tetapi Sarawak telah menanggung bebannya dengan kehilangan hak selama hampir setengah abad,” katanya.

Lim berkata salah satu cabaran DUN Sarawak yang baharu yang akan dipilih esok ialah menuntut pampasan yang adil daripada kerajaan Persekutuan untuk pengabaian selama setengah abad, yang menyebabkan dua ke tiga generasi rakyat Sarawak kehilangan hak kerakyatan penuh berkaitan peruntukan kewangan yang adil, autonomi negeri yang bermakna terutamanya dalam pendidikan dan kesihatan, pembahagian dana minyak yang saksama dan prospek pembangunan yang saksama.

“Tetapi semua perubahan ini tidak mungkin berlaku jika tidak kerana Pilihan Raya Umum ke-14 di mana PH menamatkan hegemoni politik Umno selama hampir setengah abad, di mana pemimpin kerajaan Sarawak terpaksa akur kepada kehendak Umno.

“Inilah sebab sebenar Akta Pindaan Perlembagaan 1976 yang mengurangkan Sarawak daripada satu daripada tiga entiti yang membentuk Malaysia kepada satu daripada 13 negeri Malaysia.

“Itulah Pertempuran untuk Malaysia Baharu 1.0, di mana DAP terlibat dari pembentukan kita pada 1966 hingga 2018.

“Kini kita mesti bersedia untuk Pertempuran Malaysia Baharu 2.0 untuk memastikan dalam masa empat atau lima dekad, Malaysia boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia,” tambahnya. – 17 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen