WARISAN akan berkembang maju di Semenanjung Malaysia malah akan mengatasi sebarang cabaran, kata presidennya Mohd Shafie Apdal hari ini.
Mengakui tentang halangan yang mungkin ditempuhi, beliau berkata mereka ada berpengalaman malah sudah tidak asing lagi dengan suasana politik di Semenanjung Malaysia.
“Kami faham akan ada banyak halangan. Bukan mudah tetapi kami ada pengalaman.
“Sebagai contoh, saya pernah jadi ketua perhubungan Umno Kedah selama dua tahun semasa kita jadi pembangkang dan waktu itu, kita ambil alih negeri daripada kerajaan PAS.
“Jadi, walaupun ada cabaran, dinamik politik di sini bukanlah asing bagi kami.
“Kami bukan baru wujud semalam untuk masuk Semenanjung Malaysia membuta tuli. Kami tahu di mana jalan yang beralun,” kata Shafie pada sidang media di Kuala Lumpur selepas pelancaran Parti Warisan hari ini.
Ketika ditanya mengenai rancangan partinya untuk Pilihan Raya Umum akan datang, Shafie berkata beliau perlu pragmatik, mendakwa mereka tidak akan bertanding di semua 222 kerusi Parlimen.
Shafie berkata beliau akan bincang dengan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum membuat sebarang keputusan, kerana kedua-duanya secara rasmi telah membentuk kerjasama.
“Saya perlu bersikap sangat pragmatik sebagai ahli politik kanan.
“Saya akan bincang perkara ini dengan presiden Muda sebelum buat keputusan muktamad,” katanya.
Mengenai perluasan ke semenanjung, Shafie berkata Warisan tidak pernah ditujukan untuk rakyat Sabah sahaja, menambah parti itu terbuka kepada rakyat Malaysia dari semua kaum dan agama.
“Parti kami tidak didaftarkan di Sabah tetapi didaftarkan di sini di Putrajaya. Jika parti seperti Umno, PKR dan PAS boleh masuk ke Sabah dan Sarawak untuk bertanding, jangan kata Warisan tidak boleh bertanding di semenanjung,” katanya.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata hanya kerana semua ahli Parlimen dan wakil rakyat mereka berada di Sabah, itu tidak bermakna mereka tidak berjuang untuk kepentingan negara.
Shafie menjelaskan beliau pernah tolong Pakatan Harapan di semenanjung pada pilihan raya umum lalu.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata parti itu memutuskan untuk meluaskan partinya ke semenanjung berikutan krisis dihadapi rakyat Malaysia akibat isu kepimpinan, kaum dan agama, kesihatan dan ekonomi. – 17 Disember, 2021.
Komen