PUTRAJAYA tangguh perbahasan pindaan terhadap Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kes Isnin depan untuk mengelak bantahan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak esok, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP berkata penangguhan itu kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mahu sekutunya Gabungan Parti Sarawak (GPS) kalah.
Beliau turut menegaskan partinya tidak akan menyokong pindaan Akta 342.
“Penangguhan untuk membahaskan rang undang-undang tersebut ke hari Isnin minggu depan merupakan taktik licik untuk mengelakkan sebarang kesan politik negatif ke atas PRN Sarawak yang akan diadakan esok.
“Jika rang undang-undang tersebut diluluskan oleh kerajaan semalam, maka GPS akan berdepan reaksi bantahan daripada pengundi. Selepas hari mengundi besok, kerajaan boleh menyambung semula untuk meluluskan rang undang-undang yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat.
“DAP akan menentang RUU ini pada Isnin agar rakyat tidak dipertanggungjawabkan dengan tidak adil dan dihukum dengan keras disebabkan kegagalan kerajaan,” kata ahli Parlimen Bagan itu dalam kenyataan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam memaklumkan sidang akan dilanjutkan sehari ke Isnin minggu depan bagi membolehkan pindaan Akta 342 dibincang dan diputuskan. Sidang Dewan Rakyat sepatutnya berakhir semalam.
Pakatan Harapan (PH) menegaskan tidak akan menyokong pindaan akta itu, dan menggesa satu perbincangan mendalam diadakan dengan pembangkang agar satu bentuk pindaan yang lebih baik dapat dipersetujui.
Mengikut pindaan yang dicadangkan, individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan Covid-19 boleh dikompaun sehingga RM10,000, berbanding RM1,000 ketika ini dan sehingga RM1 juta bagi syarikat yang didapati melanggar SOP.
Peraturan semasa hanya menetapkan jumlah maksimum sebanyak RM50,000 untuk syarikat dan kilang.
Mengulas lanjut, Lim berkata cadangan pindaan tersebut adalah satu bentuk hukuman keras ke atas rakyat.
“Pendekatan menghukum rakyat ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sedang lari dari tanggungjawab atas kegagalan menguruskan Covid-19 dengan kini meletakkan kesalahan di atas bahu rakyat.
“Ini bukan sahaja salah, malah menonjolkan ketidakcekapan kerajaan,” katanya.
Cadangan pindaan itu juga katanya tidak pernah dibincangkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang juga dianggotai Lim.
“Apa gunanya jawatankuasa khas ini jika perkara yang sepatutnya dibincangkan tersebut langsung tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat? Tiada sebarang kertas pembentangan tentang perkara ini di mesyuarat-mesyuarat yang lepas.
“Ismail sepatutnya menjelaskan kenapa perkara ini tidak dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen,” jelasnya. – 17 Disember, 2021.
Komen