PRESIDEN Warisan Mohd Shafie Apdal hari ini mengesahkan parti itu akan menjalin kerjasama politik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Warisan juga akan pertimbang kemungkinan untuk juga bekerjasama dengan parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan dan Pejuang untuk membentuk sebuah pakatan.
“Setakat ini kerjasama kita dengan Muda, dengan yang lain (parti) masih belum diputuskan.
“Tidak bermakna kita tutup pintu (kerjasama) sana buka pintu sini. Dalam politik macam-macam boleh berlaku,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Warisan peringkat nasional di Kuala Lumpur pagi tadi.
Minggu lepas, Shafie berkata Muda dialu-alukan untuk menggunakan logo Warisan dalam Pilihan Raya Umum akan datang, jika parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu gagal didaftarkan.
Bagaimanapun, pada Selasa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Kementerian Dalam Negeri mendaftarkan Muda dalam tempoh dua minggu.
Shafie, ahli Parlimen Semporna, berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Muda adalah untuk mengukuhkan Warisan di semenanjung.
“Kita perlu kukuhkan asas rumah kita sebelum kita bekerja dengan orang lain,” sindirnya.
Sementara itu, bekas ketua menteri Sabah itu berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan parti pembangkang lain di Parlimen, dengan mengambil kira kepentingan rakyat, tetapi parti itu mesti berkongsi nilai Warisan.
Beliau berkata ini bagi memastikan adanya semak dan imbang.
“Kita tidak mahu situasi di mana pihak lain membawa ‘Covid-19’ dan kemudian sebarkan virus itu kepada kami,” katanya, menggunakan analogi.
“Kita juga akan kalah kemudian. Kita perlu konsisten.
“Jika kita mahu bawa perubahan, kita perlu berubah. Jika mereka tidak ambil nilai seperti itu, kita perlu lihat pilihan lain,” katanya.
Warisan meletakkan dirinya sebagai parti spektrum tengah, berbanding haluan kanan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, dan Pakatan Harapan yang berhaluan kiri. – 17 Disember, 2021.
Komen