Warisan mula bertapak di Semenanjung


Ravin Palanisamy

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal semasa pelancaran peringkat nasional parti itu di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Disember, 2021.

PARTI Warisan Sabah (Warisan) peringkat nasional secara rasmi dilancarkan hari ini, melebarkan sayapnya ke seluruh negara.

Presidennya Mohd Shafie Apdal berkata ia sekali gus menjadi landasan untuk membina negara yang bukan semata-mata berasaskan kaum dan agama tertentu.

“Kita sediakan landasan ini supaya berlaku perubahan struktur dalam politik negara ini. Perlu ada peralihan daripada sistem politik berasaskan kaum dan agama kepada kepelbagaian kaum yang lebih inklusif di Malaysia.

“Peralihan perlu bermula sekarang, tidak boleh ditunggu. Bukan, esok, bukan minggu depan, bulan depan atau tahun depan. Kita mulakan hari ini di Kuala Lumpur,” kata Shafie pada majlis pelancaran Warisan peringkat nasional di Pusat Konvensyen Sime Darbydi Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Bekas naib presiden Umno itu menubuhkan Warisan pada Oktober 2016, beberapa bulan selepas beliau meletak jawatan susulan perselisihan dengan Najib Razak ketika itu presiden Umno.

Walaupun agak baru dalam arena politik negara, Warisan yang berpangkalan di Sabah mempunyai lapan ahli Parlimen dan 19 Adun.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan peguam Siti Kasim antara tetamu yang hadir pada majlis pelancaran hari ini.

Shafie dalam pada itu melahirkan rasa kecewa apabila kaum dan agama dipergunakan demi kepentingan politik sehingga memecahbelahkan rakyat.

“Sudah lebih 60 tahun merdeka (tapi) masih lagi dibangkitkan tentang persoalan kaum. Orang Melayu di Malaysia tidak akan mati kalau tiada Umno.

“Islam di Malaysia tidak akan lumpuh kalau tiada PAS. Orang Cina tidak akan mati kalau tiada DAP.

“Mana ada Umno di Indonesia? Mana ada PAS di Brunei, DAP di China? Tidak ada. Apabila kita gunakan kaum dan agama, ia sangat memecahbelah,” katanya. – 17 Disember, 2021.   

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen