Hospital swasta sedia bantu kerajaan tingkat kempen dos penggalak vaksin Covid-19


HOSPITAL swasta sedia membantu Putrajaya mempertingkatkan program vaksinasi dos penggalaknya, kata presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh hari ini.

Beliau dalam satu kenyataan berkata hospital swasta akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan ProtectHealth berdasarkan mana-mana arahan supaya ia dapat membantu melengkapkan proses vaksinasi dos penggalak dengan sumber yang ada di hospital swasta.

“Persatuan Hospital Swasta Malaysia sekali lagi akan membantu kerajaan mempertingkatkan vaksin penggalak untuk orang ramai kerana tiada bukti ianya penting untuk perlindungan selanjutnya.

“Pada masa ini terdapat banyak hospital swasta di negara ini yang menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dan bukan warganegara dalam pemberian suntikan dos penggalak berdasarkan temujanji yang ditetapkan oleh MySejahtera,” katanya.

“Ia lancar terutamanya untuk mereka yang berusia 60 tahun. Kini ia dibuka untuk selebihnya berdasarkan kriteria terkini.”

Bagaimanapun, Kuljit berkata, terdapat kebimbangan kerana ada yang tidak hadir untuk vaksin dos penggalak atas pelbagai sebab.

Beliau menggesa orang ramai mendapatkan dos penggalak mereka di hospital swasta tertentu yang disenaraikan dalam MySejahtera.

“Perkhidmatan yang disediakan oleh hospital swasta untuk memberi suntikan dos penggalak adalah percuma dan ini adalah usaha kami untuk membantu kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Kuljit berkata hospital swasta menyaksikan sedikit peningkatan dalam kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi serta wad biasa dengan Kategori 3 hingga 5.

Bagaimanapun katanya jumlah itu tidak membimbangkan seperti beberapa bulan lalu.

“Garis panduan daripada Kementerian Kesihatan dan maklumat daripada badan antarabangsa mesti dipatuhi kerana kemungkinan gelombang besar pesakit adalah tidak mustahil. Kita perlu berhati-hati dengan varian Omicron pada ketika ini,” katanya.

Kuljit berkata sejak 2020, hospital swasta telah menyediakan alat bantuan pernafasan kepada hospital kerajaan untuk membantu merawat pesakit Covid-19 dan turut mengambil bahagian dalam pelbagai peringkat program vaksinasi daripada PPV mega hingga PPV dalaman kecil di hospital swasta.

“Kami akan terus berusaha dan bekerjasama dengan kerajaan dalam pandemik ini. Perkongsian awam kami dalam menguruskan pesakit dari hospital kerajaan telah memberi banyak manfaat kepada pesakit dan ini memberi ruang kepada pesakit Covid-19 di hospital awam,” katanya.

Sehingga kini, 55.56 juta dos suntikan vaksin telah diberikan, yang mana lebih empat juta daripadanya adalah suntikan dos penggalak.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata individu yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang telah menerima Sinovac sebagai vaksin primer mereka dikehendaki mendapatkan suntikan penggalak mereka sebelum Februari tahun depan.

Beliau berkata adalah wajib bagi kedua-dua kumpulan ini mendapatkan suntikan dos penggalak mereka bagi mengemas kini status mereka dalam MySejahtera sebagai lengkap divaksin.

Khairy berkata mereka yang gagal mengambil suntikan dos penggalak, status vaksinasi MySejahtera mereka akan ditukar menjadi tidak lengkap. – 17 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen