Bahaya tapi murah, kata penduduk PPR di Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Kelihatan banyak sampah sarap di bumbung akibat perbuatan penghuni Projek Perumahan Rakyat di Padang Tembak, Pulau Pinang yang membuangnya dari tingkat atas. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 2 Februari, 2018.

SAMPAH yang dibuang dari tingkat atas, termasuk sesekali pasu bunga dan air kotor adalah kejadian biasa bagi penduduk yang tinggal di tingkat bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Tembak, Pulau Pinang.

Belajar menyesuaikan diri daripada karenah jiran yang bising, menghabiskan sebahagian masa di dalam rumah bagi mengelak segala gangguan dan ketidakselesaan, kebanyakannya sudah lali dan menjalani kehidupan sendiri.

“Sesetengah jiran tidak peduli. Mereka menunggang basikal di koridor yang sempit, melanggar pintu orang lain; melempar sampah dari tingkat mereka, dan membuat bising pada waktu pagi,” kata seorang penduduk PPR yang hanya mahu dikenali sebagai Tham.

Bagaimanapun, duda berusia 60-an, yang tidak mempunyai anak, berkata dia tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mencari tempat tinggal lain dan oleh itu terpaksa belajar menerima untuk hidup dengan segala ketidakselesaan itu.

“Anda memberitahu mereka agar tidak melakukannya, tetapi mereka masih meneruskannya. Jadi, anda belajar menerimanya. Anda tidak boleh mengomel apabila sewa sangat murah. Apa lagi yang anda mahu?” kata Tham.

Dua daripada sembilan blok flat Padang Tembak disewa sebagai unit perumahan awam kepada golongan miskin sementara blok selebihnya adalah milik persendirian.

Loh Eng Kim daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Padang Tembak (JKKK) berkata meskipun nasihat, amaran dan ancaman, ramai penyewa PPR terus menunjukkan sikap tidak peduli terhadap kehidupan bermasyarakat.

“Saya tidak tahu mengapa mereka lakukan perkara seperti ini? Tidakkah mereka tahu ia melanggar peraturan sebagai penyewa PPR?

“Malam sebelum ini, ada yang bergaduh disebabkan pasu bunga yang jatuh. Orang membuat bunyi bising sehingga membawa kepada pergaduhan adalah normal di sana.

“Kadang-kala mereka menyelesaikannya dengan cepat dan pada masa lain polis terpaksa dipanggil dan seseorang akan ditahan,” kata Loh, yang tinggal di Padang Tembak sejak  1971.

Seperti Tham, penduduk PPR, Deborah Subramaniam berkata, dia juga terpaksa akur dengan ketidakselesaan yang dikatakan sebagai sebahagian daripada kehidupan di unit perumahan awam kos rendah.

Walaupun perlu berhati-hati terhadap objek yang dibuang dari tingkat atas menjadi cara hidup bagi Deborah dan jirannya, dia berkata flat belum pernah mengalami kejadian kecederaan serius akibat objek yang jatuh.

“Ya, ada gangguan sedemikian. Kami tidak mempunyai kes yang serius. Pergaduhan, bunyi bising, masalah sampah…ia normal.

“Tetapi ada juga orang baik yang tinggal di sini. Anda hanya perlu mengelak mereka yang tidak begitu baik.”

Deborah, yang berpindah ke PPR tujuh tahun lalu dengan suaminya untuk menjaga ibu bapanya, berkata dia menangani masalah dengan cuba mengurangkan masa di luar rumah.

“Kehidupan di sini okay. Kami hanya jaga diri sendiri. Lakukan apa yang sepatutnya. JIka anda nampak orang lain buat perkara tidak elok, jangan sertai mereka.

“Apabila saya pulang dari kerja atau gereja, saya hanya duduk di dalam rumah dan buat hal sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Flat Padang Tembak di Air Itam merupakan pembangunan perumahan bertingkat kos rendah pertama di negara ini.

Dahulu dikenali sebagai flat “Rifle Range”, projek itu dirancang dan dibangunkan di bawah pentadbiran menteri besar Pulau Pinang pertama, mendiang Wong Pow Nee yang tempoh penggalnya berakhir pada 1969, dan siap pada awal 1970an semasa zaman penggantinya, mendiang Dr Lim Chong Eu.

Projek ini mempunyai sembilan blok 17 hingga 18 tingkat - A hingga J - dengan jumlah keseluruhan 3,699 unit. Penduduk membayar sewa RM30 setiap bulan selama 30 tahun sebelum memiliki unit mereka di bawah skim sewa beli.

Unit kecil dengan ukuran purata 340 kaki persegi yang hanya mempunyai satu bilik tidur. Unit tepi sedikit luas dan mempunyai dua bilik.

Hari ini, kira-kira 480 unit dalam blok E dan J disewa sebagai unit PPR kepada mereka yang mempunyai pendapatan rumah isi rumah di bawah RM1,500 sebulan.

Tragedi menanti

Awal bulan ini, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun terbunuh akibat kecederaan parah dihempap kerusi yang dillempar dari tingkat 21 rumah flat PPR Seri Pantai di Kuala Lumpur.

Walaupun tiada kejadian seperti itu berlaku di flat PPR di Padang Tembak, Loh daripada JKKK berkata dengan sikap kurang sopan penduduk, ia hanya menunggu masa sebelum tragedi berlaku.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) sering menjadi pilihan kerana sewanya yang murah sebagaimana PPR Padang Tembak, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 2 Februari, 2018.

Dia menceritakan bagaimana penghuni melemparkan sisa makanan, tin bir dan botol kosong, dan botol air plastik ke atas balkoni dan koridor mereka dan bagaimana penyewa pernah membela anjing dan ayam di flat.

“Najis binatang bersepah di balkoni, jadi bagaimana anda rasa penyewa selepas mereka membersihkannya? Dia sudah diberitahu oleh tuan rumah untuk berpindah.

“Mereka yang membuang dan melakukan perkara membahayakan orang lain dan menyebabkan kerosakan harta benda sukar ditangkap. Tetapi jika mereka ditangkap, apa yang boleh anda lakukan kepada mereka?”

Loh berkata dia menangkap dan memarahi seorang kanak-kanak kerana membuang sampah, dan apa dia dapat adalah pandangan marah daripada si bapa, yang tidak tahu malu.

“Jika anda tidak mengajar betul-betul semasa mereka kecil, bila lagi?”

Apabila ditanya mengapa ramai penduduk PPR terdedah kepada tingkah laku anti-sosial seperti itu, ahli sosiologi pembangunan Profesor Rahimah Abdul Aziz dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata terdapat banyak faktor memainkan peranan, tetapi kemiskinan dan kekurangan pendidikan mungkin menjadi punca.

“Tidak mungkin ada satu alasan yang jelas. Ia boleh disebabkan pelbagai faktor yang saling berkaitan - peribadi dan sosial.

“Kita hanya boleh meneka dan mengandaikannya tetapi sukar untuk digeneralisasi tanpa memahami konteksnya.

“Kajian perlu dilakukan untuk menghubungkan kemiskinan, kekurangan pendidikan dan faktor-faktor lain terhadap tingkah laku anti-sosial,” katanya.

Walaupun kebanyakan penduduk di unit PPR adalah warga tua, ia adalah penyewa lebih muda dan baru yang menunjukkan kekurangan kesedaran sivik, katanya.

Program Gotong-royong diselenggarakan setiap tahun di flat, tetapi ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk, katanya.

Mereka yang akhirnya melakukan pembersihan adalah anggota JKKK Padang Tembak, rakan daripada empat JKKK lain di Kebun Bunga, dan pekerja majlis.

“Penduduk tidak terlibat. Jika kita mendapat sukarelawan, ia seringkali terdiri daripada penduduk yang lebih tua, bukan orang muda.

“Masalahnya adalah mentaliti rakyat. Ia tiada kaitan sama ada mereka miskin atau tidak,” katanya. – 2 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen