Beijing kutuk AS sekat firma ubat tahan sakit China


Jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin berkata republik komunis menentang tegas langkah Amerika Syarikat itu, dilihatnya sebagai tidak membina. – Gambar EPA, 16 Disember, 2021.

BEIJING mengecam Amerika Syarikat (AS) pada Khamis kerana mengenakan sekatan ke atas pembuat ubat tahan sakit China ketika Washington cuba membendung epidemik ketagihan yang membunuh 100,000 rakyat Amerika tahun lepas.

Ketika penagih semakin beralih kepada pil lebih murah yang dibeli dalam talian dari luar negara, Presiden Joe Biden menandatangani perintah eksekutif pada Rabu yang membolehkan AS menyasarkan pengedar dadah asing.

Tindakan itu “akan mengganggu rantaian bekalan global dan rangkaian kewangan yang membolehkan opioid sintetik dan bahan kimia prekursor sampai ke AS,” kata Setiausaha Negara Antony Blinken dalam satu kenyataan.

China berkata ia “tegas menentang” langkah itu.

“Perbuatan salah seperti ini, di mana satu pihak sakit tetapi memaksa pihak lain untuk ambil ubat, adalah tidak membina,” kata jurucakap kementerian luar Wang Wenbin kepada pemberita.

Penguatkuasa undang-undang AS berkata China kekal sebagai sumber utama kedua-dua fentanyl dan bahan kimia yang digunakan untuk membuat kedua-dua opioid, serta ubat sintetik lain.

Beijing menegaskan ia telah mengambil langkah untuk mengawal pengeluaran fentanyl dan prekursor.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen