MAHKAMAH Vietnam menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada seorang aktivis kerana menyebarkan maklumat menentang negara itu di media sosial, kata peguam hari ini.
Ini merupakan penentang keempat yang dipenjarakan oleh rejim komunis dalam tempoh tiga hari.
Do Nam Trung, 40, terkenal kerana mengambil bahagian dalam protes alam sekitar dan anti-China serta menentang rasuah kerajaan.
Dia sebelum ini menghabiskan 14 bulan di penjara selepas secara terbuka memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia pada awal 2010.
Pentadbiran garis keras Vietnam sering bergerak pantas untuk menyekat perbezaan pendapat, memenjarakan aktivis, wartawan dan mana-mana pengkritik dengan khayalak ramai di Facebook.
Pada perbicaraan di utara wilayah Nam Dinh hari ini, Trung dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana “membuat, menyimpan, mengedar atau menyebarkan maklumat dan dokumen yang bertujuan menentang Repbulik Sosialis Vietnam”.
Semasa perbicarannya, Trung secara konsisten menolak pandangan pihak pendakwaan bahawa dia bersalah dan enggan mengulas mengenai perbuatan yang didakwa, menurut catatan Facebook oleh Dan Dinh Manh, salah seorang peguam Trung.
Seorang lagi peguam bela Trung, Ha Huy Son memberitahu AFP aktivis itu akan mengemukakan rayuan.
Keputusan Trung dibuat selepas aktivis Trinh Ba Phuong dan Nguyen Thi Tam masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam tahun semalam atas pertuduhan sama.
Mereka ditahan dan didakwa selepas menyiarkan di Facebook mengenai pertembungan berhubung pertikaian tanah yang menyebabkan empat orang maut di pinggir ibu negara Vietnam tahun lalu.
Pada Selasa salah seorang wartawan penentang Vietnam yang paling terkenal Pham Doan Trang dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas tuduhan anti-negara.
Timbalan pengarah Asia Human Rights Watch Phil Robertson menggesa agar Trung dibebaskan segera.
“Tekanan global terhadap kerajaan Vietnam diperlukan untuk memansuhkan undang-undang jenayah kesat ini yang secara terang-terangan melanggar hak kebebasan bersuara,” kata Robertson dalam satu kenyataan. – AFP, 16 Disember, 2021.
Komen