Perancis perketat sekatan perjalanan dari UK


Rakyat Perancis yang pulang dari luar negara perlu mempunyai ujian negatif kurang daripada 24 jam dan menjalani kuarantin. – Gambar EPA, 16 Disember, 2021.

PERANCIS akan memperketatkan sekatan perjalanan dari Britain untuk ngekang penyebaran varian Omicron Covid-19 yang menyebabkan kes naik di sana, kata kerajaan pada Khamis.

“Kami akan meletakkan sistem kawalan lebih ketat secara drastik daripada yang kami ada,” kata jurucakap kerajaan Gabriel Attal kepada televisyen BFM, sambil berkata pejabat Perdana Menteri Jean Castex akan mengeluarkan kenyataan mengenai langkah baharu itu dalam beberapa jam akan datang.

Beliau berkata pengembara yang pulang memerlukan ujian negatif kurang daripada 24 jam, kuarantin akan dikuatkuasakan dan perjalanan untuk pelancongan dihadkan.

“Kami akan mengurangkan kesahan ujian untuk datang ke Perancis daripada 48 jam kepada 24 jam,” kata Attal.

“Kami akan mengehadkan alasan untuk datang ke Perancis dari UK, ia akan dihadkan kepada warga Perancis dan penduduk serta keluarga mereka. Pelancongan atau perjalanan perniagaan untuk indivivdu bukan warganegara Perancis atau Eropah atau bermastautin akan dihadkan.”

“Mereka yang pulang perlu mendaftar pada aplikasi dan perlu mengasingkan diri di tempat pilihan mereka selama tujuh hari—dikawal oleh pasukan keselamatan—tetapi ini boleh dipendekkan kepada 48 jam jika ujian negatif dijalankan di Perancis,” katanya.

Attal berkata dasar ini bertujuan untuk “memperketatkan saringan” untuk mengekang ketibaan kes Omicron di Perancis dan memberi masa untuk kempen dos penggalak vaksin Perancis.

“Strategi kami adalah untuk menangguhkan seberapa lama yang kami boleh penulisan Omicron di negara kami dan mengambil kesempatan untuk meneruskan dengan pemberian dos penggalak,” katanya.

Britain pada Rabu mencatatkan rekod dengan 78,610 kes Covid-19 yang disahkan oleh makmal, dengan saintis meramalkan kadar lebih tinggi kerana Omicron dipercayai merebak lebih cepat berbanding varian Delta yang dominan pada masa ini.

Sekatan perjalanan yang ketat juga dikenakan, yang dilihat oleh penganalisis sebagai kehilangan kepercayaan antara kerajaan British dan Perancis berikutan Brexit berhubung pelbagai isu termasuk mengenai pendatang.

Presiden Perancis Emmanuel Macron minggu lalu menuduh kerajaan Perdana Menteri UK, Boris Johnson gagal memenuhi janjinya mengenai Brexit, dengan berkata “masalah dengan kerajaan Britain ialah ia tidak bertindak sebagaimana yang dikatakan”. – AFP, 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen