TERDAPAT 18 kemungkinan kes varian Omicron di negara ini dengan pembawa dari seluruh dunia, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy berkata kes itu kini sedang diuji dengan keputusannya akan diumumkan esok.
Menteri kesihatan sebelum ini mengesahkan kes positif varian Omicron melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang pulang dari Nigeria.
Khairy dalam pada itu berkata dengan insiden terbaharu melibatkan kanak-kanak berkenaan, Nigeria akan diletakkan di bawah kategori “negara berisiko tinggi” dan pelancong yang datang dari benua Afrika perlu memakai peranti pergerakan digital.
“Berdasarkan kajian dari Universiti Kyoto, varian Omicron empat kali lebih mudah menular berbanding varian Delta,” dedahnya.
Khairy juga menegaskan bahawa semua pelancong dari United Kingdom perlu menjalankan ujian kendiri setiap hari dan melaporkannya dalam aplikasi MySejahtera mereka.
“Bagi pengembara yang mendapat vaksin sepenuhnya dari UK, mereka perlu melakukan ujian kendiri selama tujuh hari dan bagi individu yang tidak diberi vaksin sepenuhnya, mereka perlu melakukannya selama 10 hari semasa di bawah kuarantin,” tambahnya. – 16 Disember, 2021.
Komen