Malaysia kesan kes ke-2 varian Omicron


Alfian Z.M. Tahir

Kes kedua varian Omicron dikesan pada 7 Disember, melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang pulang ke Malaysia dari Lagos, Nigeria. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

SATU lagi kes varian Omicron Covid-19 dikesan di negara ini, menjadikannya kes kedua disahkan sejak November, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Kes kedua dikesan pada 7 Disember, melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang pulang ke Malaysia dari Lagos, Nigeria.

“Kita kini ada dua kes varian Omicron yang disahkan. Kes terbaru melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang pulang dari Lagos, Nigeria.

“Ujian saringan Covid-19 yang diambilnya pada 5 Disember sebelum berlepas adalah negatif. Dia pulang bersama ibu dan adik perempuannya dan hanya disahkan positif pada 7 Disember dan tidak menunjukkan sebarang simptom. Mereka kini menjalani kuarantin di rumah,” kata Khairy.

Bercakap lanjut, Khairy berkata kesemua 35 penumpang yang duduk berhampiran kanak-kanak itu dalam penerbangan diuji negatif.

Khairy juga berkata pemandu teksi yang membawa keluarga itu pulang dari lapangan terbang juga sudah didapati negatif.

“Ibu dan adik perempuannya sudah dua kali diuji dengan keputusan negatif, pemandu teksi juga negatif.

“Seramai 35 penumpang yang duduk di empat baris pertama, barisan belakang, di lorong kanan dan kiri semuanya turut menjalani ujian. Ini semua adalah kontak rapat dan menjalani kuarantin di rumah,” kata Khairy.

Pada 3 Disember, kes pertama varian Omicron diumumkan oleh Khairy.

Pembawa Omicron itu adalah pelajar bukan warganegara berusia 19 tahun yang belajar di Ipoh, Perak yang berasal dari Afrika Selatan, dan memasuki negara melalui Singapura.

Khairy berkata pelajar itu, dan lima lagi yang menaiki bas yang menjemput mereka di KLIA, kini dalam kuarantin.

Beliau berkata pelajar berkenaan memasuki Malaysia pada 19 November sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Omicron sebagai varian membimbangkan pada 24 November. – 16 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen