AGENSI antirasuah mengesahkan dua pegawainya diserahkan kepada polis berhubung kes rompakan berkumpulan ke atas seorang ahli perniagaan Jumaat lalu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan agensi itu memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan kes jenayah membabitkan pegawainya.
“SPRM mengesahkan telah membantu siasatan pihak polis dan menyerahkan dua lagi pegawai SPRM bagi membantu siasatan.
“Suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam jenayah dan menggesa agar siasatan ini disegerakan, kenyataan itu dipetik.
Pada Ahad lalu, SPRM mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi kes melibatkan rompakan berkumpulan membabitkan kerugian lebih RM700,000 di Ampang, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian 12 tengah hari pada Jumaat itu, tiga lelaki dilaporkan memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an dengan alasan untuk menyiasat kes pengubahan wang haram.
Tiga lelaki itu dilaporkan memperkenalkan diri sebagai pegawai penguatkuasa sebuah agensi antirasuah dan menggeledah rumah tersebut.
Suspek juga didakwa meminta mangsa mengambil beg berisi wang tunai sebelum melarikan diri bersama beg itu dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Kenderaan tersebut didakwa milik seorang rakan kepada salah seorang pegawai penguatkuasa terlibat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya mengesahkan menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai SPRM berusia 30-an.
Noor Dellhan juga mengesahkan tahan reman ke atas pegawai SPRM itu disambung lima hari sehingga 20 Disember manakala seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
“Seramai 17 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya. – 16 Disember, 2021.
Komen