PAS lindung nilai taruhannya menerusi sekutu politik lebih besar, kata penganalisis


Alfian Z.M. Tahir

Muafakat Nasional antara PAS dan Umno ditubuhkan pada 2019, setahun selepas Umno hilang kuasa persekutuan buat pertama kalinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2021.

PAS terbuka untuk mengadakan kerjasama politik menerusi cadangan terbaru timbalan presidennya bagi mewujudkan gabungan lebih besar, memandangkan hubungannya dengan Umno kini goyah, kata pemerhati politik.

Di sebalik cadangan Tuan Ibrahim Tuan Man itu juga terselit hasrat untuk menjadikan hubungan PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional, satu kerjasama yang kekal lebih lama, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata masih ada pemimpin dalam PAS seperti Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Khairuddin Aman Razali yang mahu meneruskan kerjasama politik dengan Umno, walaupun PAS memberi sokongan kepada musuh Umno iaitu Bersatu.

Apatah lagi pilihan raya umum (PRU) semakin hampir.

“Tokoh dalam PAS ini berusaha keras untuk mencapai rundingan yang mereka ada dengan Umno bagi membentuk Muafakat. Bersatu masa itu tidak wujud lagi.

“Hanya Umno dan PAS pada masa itu selepas kedua-duanya tewas dalam PRU 2018,” katanya.

Bagaimanapun, Hisomuddin menekankan idea itu agak sukar dilaksanakan.

“Umno dengan jelas berkata pada perhimpunan agungnya awal tahun ini yang ia tidak akan menerima Bersatu, walau apa pun yang berlaku.

“Saya juga tidak nampak bagaimana ketegangan antara Umno dan Bersatu boleh dikurangkan. Mereka mungkin boleh berbincang dengan PAS, tapi bukan Bersatu,” katanya.

Muafakat ditubuhkan pada 2019, setahun selepas Umno hilang kuasa persekutuan buat pertama kalinya. Matlamat pakatan itu ialah menyatukan kekuatan dua parti Melayu-Islam yang bersaing bagi berdepan dengan Pakatan Harapan (PH).

Tetapi ikatan antara kedua-dua parti terjejas selepas PAS meneruskan kerjasamanya dengan Bersatu di bawah Perikatan Nasional, yang menggulingkan kerajaan PH tahun lalu. Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu, walaupun ia sebahagian daripada kerajaan.

Pada program sambutan ulang tahun PAS di Terengganu pada hujung minggu lalu, Tuan Ibrahim mencadangkan gabungan baharu sebagai solusi mengurangkan ketegangan politik antara PAS dan Umno, dan antara Umno dan Bersatu.

Tuan Ibrahim berkata gabungan baharu itu tidak semestinya dilihat daripada perspektif politik, kerana perpaduan diperlukan dalam kebanyakan kepentingan.

Beliau memberi ulasan itu selepas Umno berkata ia akan memutuskan tentang hubungannya dnegan PAS dan masa depan Muafakat pada perhimpunan agungnya bulan depan.

Pengarang dan pemerhati PAS Sayuti Omar senada dengan Hisomuddin, berkata PAS masih cuba hendak “main dua kolam” dengan Umno dan Bersatu.

“Betul memang ada ahli PAS tertentu masih mahu bekerjasama dengan Umno, tetapi untuk masa depan, mereka juga tahu mereka perlukan Bersatu.

“Tetapi pada masa sama mereka tidak mahu hilang Umno, kerana tahu  mereka akan dapat membantu pada PRU nanti.

“Mereka tahu dalam hal tertentu, Bersatu akan menjadi sekutu yang baik, manakala ada dalam hal lain, Umno lebih bagus. PAS mahu mencipta ‘kolam ketiga’ untuk ada kedua-duanya Umno dan Bersatu,” kata Sayuti.

Pengarang buku politik itu berkata Umno bagaimanapun jelas menyatakan pendirian untuk bergerak solo (tanpa bantuan parti Melayu-Islam lain), pada PRU akan datang. – 16 Disember, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen