PELANTIKAN Digital Nasional Berhad (DNB) untuk melaksanakan teknologi 5G di Malaysia hanya dibincangkan antara Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan bekas menteri komunikasi dan multimedia Saifuddin Abdullah, kata Zahidi Zainul Abidin.
Malah perkara itu juga diluar pengetahuan timbalan menteri Zafrul dan Saifuddin ketika itu, tambahnya.
“Tetapi saya diberitahu ada perbincangan dengan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malik kerana spektrum 5G diberikan oleh SKMM,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
“Semasa menjawab di Parlimen, saya tiada maklumat mengenai perbincangan antara menteri dengan menteri kerana ia tak dimaklumkan kepada saya.
“Pengerusi SKMM juga tidak maklumkan sebab sepanjang saya menjawab di Parlimen, beliau tidak permah hadir, cuma pegawai bawahan yang hadir, dan mereka tidak tahu kenapa dimonopoli Ericsso,” jelas timbalan menteri komunikasi dan multimedia itu.
Tambahnya, kerajaan perlu lebih telus dan bertanggungjawab kerana projek tersebut menelan kos RM20 bilion.
“Kita nak tahu apa pelan mitigasi dan pengurusan risiko. Jika syarikat Ericsson muflis, apa jadi pada projek ini? Rakyat kena bertanggungjawab.
“Jadi, jangan kita berahsia kerana apabila menjawab di Parlimen, saya perlu bertanggungjawab kepada pembangkang dan rakyat,” katanya.
Tambahnya, projek pelaksanaan 5G menelan kos RM20 bilion, walaupun Timbalan Menteri Kewangan pagi tadi memaklumkan sidang Dewan Rakyat kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM12.5 bilion berbanding anggaran awal RM11 bilion.
Zahidi seterusnya berkata beliau juga menerima aduan daripada beberapa syarikat yang mahu menyertai tender penyediaan perkhidmatan 5G.
“Saya ada dapat aduan daripada syarikat yang masuk tender 5G bahawa proses tender tidak telus, ada penipuan tender dan sebagainya. Mungkin sebab Saifuddin dulu dari PKR dan saya dari Umno.
“Saya juga rasa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tak tahu menahu mengenai projek 5G ini kerana Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa terpaksa bertanya baru-baru ini untuk beri taklimat kepada perdana menteri.
Khamis minggu lepas, Zahidi memberitahu Dewan Rakyat Kementerian Kewangan tidak berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berhubung pelantikan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi melaksanakan teknologi 5G di Malaysia.
Sehari kemudian, Zafrul keluarkan kenyataan, isu berkenaan spektrum 5G sudah dibincangkan bersama antara kementeriannya dan KKMM di Kabinet sejak 2019. – 15 Disember, 2021.
Komen