
CUBAAN untuk mendapatkan keuntungan politik daripada keputusan penting berkenaan penukaran agama sebelah pihak akan menikam diri, kata penganalisis, kerana penghakiman itu mencetuskan kontroversi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kerana di akhirnya, kebimbangan tentang kos sara hidup, peluang pekerjaan, kenaikan gaji dan khidmat kerajaan akan menjadi pendorong utama di mana undi itu akan diberikan, kata mereka.
Ini bukan kali pertama isu agama dicetuskan ketika PRU hampir tiba, kata penganalisis Dr Faisal Syam Hazis dan Ibrahim Suffian.
Sebelum PRU pada Mac 2008, Lina Joy yang murtad dan memeluk Kristian mencetuskan kekecohan apabila dia membawa kesnya ke mahkamah selepas kerajaan enggan mengeluarkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya.
Beberapa minggu sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 2011, Putrajaya terbabit dalam perbalahan undang-undang dengan gereja di Malaysia timur apabila kitab Injil berbahasa Melayu dan Indonesia yang dibawa masuk ke dalam negara ini, dirampas oleh pihak berkuasa.
Kes Lina Joy tidak mengalihkan kebanyakan undi terhadap perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, kata Ibrahim dari badan pemikir pilihan raya bebas, Merdeka Center.

Sama juga, kes Bible Sarawak juga gagal mengalihkan undi daripada masyarakat Dayak Kristian daripada Barisan Nasional (BN) Sarawak, kata Faisal dari Pusat Pengajian Asia, Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Akan ada banyak isu berlaku pada PRU kali ini. Sangat banyak,” kata Faisal.
“Tetapi pada akhirnya rakyat akan mengundi berdasarkan kepada faktor asas. Isu ini tidak akan sepenting isu asas yang lain.”
Klausa 88A
Sehari sebelum sambutan Thaipusam bagi penganut Hindu, Mahkamah Persekutuan mengumumkan penukaran agama tiga kanak-kanak Hindu kepada Islam oleh bapa mereka adalah terbatal dan tidak sah.
Keputusan bagi perjuangan M Indira Gandhi selama sembilan tahun itu menjadi penghakiman penting kerana ia bermakna kedua-dua ibu bapa bukan Islam perlu memberi kebenaran untuk menukarkan agama anak mereka kepada Islam.
Isu sama ada undang-undang membenarkan seorang atau kedua-dua ibu bapa bukan Islam menukar agama anak kepada Islam itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan pemimpin Islam, parti politik dan pelbagai kumpulan.
Pada masa sama, bukan Islam juga mendesak kerajaan mengharamkan penukaran agama sebelah pihak untuk kanak-kanak bukan Islam oleh salah seorang ibu bapa.
Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA) yang mengendalikan perkahwinan bukan Islam untuk mengambil kira penghakiman Mahkamah persekutuan.
Ini akan termasuk memperkenalkan semula Klausa 88A yang menyatakan: agama anak akan kekal sebagai agama kedua-dua pihak dalam perkahwinan itu sebelum pertukaran agama.
Klausa itu juga menyatakan bahawa kanak-kanak itu boleh, selepas umur 18 tahun, dan dengan keizinan kedua-dua ibu bapa, menukar agama kepada Islam.
Klausa 88A akan mengelak berlakunya penukaran agama anak oleh salah seorang ibu bapa bukan Islam.

Bagaimanapun, PAS dan kumpulan Muslim konservatif membantah pengenalan 88A, mendakwa ia bertentangan dengan kepentingan Islam.
Dalam satu pos dalam lidah pengarang PAS, Harakahdaily online ketua penerangannya Nasrudin Hassan berkata parti Islam itu akan membantah sebarang cubaan mengembalikan 88A dan LRA.
Dalam satu lagi pos, pemimpin PAS Kelantan, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata satu-satunya cara untuk mengelak 88A kembali, ialah dengan meningkatkan jumlah ahli Parlimen PAS.
Isu itu berlaku apabila PAS, Umno dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing cuba mendapatkan sebanyak mungkin undi Melayu Islam pada PRU14.
Ibrahim dari Merdeka Center berkata jika PAS memilih untuk memainkan isu itu, ia akan hanya mengukuhkan sokongan dalam kalangan penyokong tegarnya.
“Bergantung pada bagaimana mereka memainkan isu itu, ia juga boleh meningkatkan sokongan dalam kalangan pengundi tidak berparti yang taksub terhadap agama,” kata Ibrahim.
Faisal berkata isu itu juga boleh dimainkan bersama isu melindungi hak Melayu Islam, satu kebimbangan dalam kalangan sesetengah pengundi Melayu Islam.
Satu kaji selidik Merdeka Center yang dijalankan tahun lalu menunjukkan hak Melayu masih berada pada senarai teratas kebimbangan bagi satu pertiga (37.4%) daripada pengundi Melayu.
“Tetapi boleh dipersoalkan sama ada isu ini akan memberi kesan penting dalam PRU. Pengundi masih secara asasnya bimbang tentang kos sara hidup, ekonomi, ruang demokrasi yang semakin sempit dan rasuah.”
Di satu pihak lagi, pengundi Islam yang sederhana mungkin berpaling daripada PAS jika mereka merasakan parti Islam itu memanipulasi isu itu untuk meraih undi.
“Ia bercampur-campur. Mereka boleh dapat tarikan dengan isu itu tetapi saya ragu-ragu yang mereka boleh menambah undi. Ia juga boleh mengusir pengundi yang melihat parti itu mempolitikkan agama,” kata Ibrahim. – 2 Februari, 2018.
Komen