.jpg)
ISU Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sudah lama diperjuangkan oleh mahasiswa. Ada pindaan yang bagus sudah dilaksanakan contohnya membenarkan mahasiwa terlibat aktif dalam politik dalam kampus.
Pindaan sebelum ini adalah terhadap Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] dan Seksyen 10 (2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 [Akta 174] yang terpakai kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Perguruan.
Dalam Sidang Kamar Khas tahun lepas, Dr Noraini Ahmad menyatakan akan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Penambahbaikan AUKU, namun sehingga hari ini tidak pernah ada satu pun mesyuarat berkenaan jawatankuasa tersebut dakwa beberapa gabungan mahasiswa.
Oleh itu, semalam mereka menuntut supaya ada jalan penyelesaian segera untuk isu ini.
Saya berpendapat AUKU ini perlu dimansuhkan segera memandangkan Undi18 sudah berkuatkuasa.
Jika anak muda berumur 18 tahun pun sudah boleh menjadi calon pilihan raya, saya fikir tidak logik untuk mempunyai akta seperti AUKU ini yang mengekang kebebasan mereka berorganisasi. Ia seolah-olah “progressive backward”.
Tidak wajar kita masih lagi menyimpan akta yang mengekang kebebasan para pelajar sedangkan tahun hadapan (apabila ia mula berkuatkuasa) seawal 18 tahun kita sudah boleh menjadi calon pilihan raya, pengundi, berkahwin dan sebagainya tetapi apabila melibatkan hal kebebasan autonomi pelajar kita cuba mengekang suara mahasiswa.
Saya meminta Dr Noraini membuat keputusan terbaik berkenaan status AUKU ini memandangkan undang-undang ini bertentangan dengan keputusan kerajaan persekutuan yang menurunkan umur had mengundi.
Dengan memberi autonomi dan kebebasan akademik kepada pelajar, ia selaras dengan keputusan kerajaan menurunkan had umur mengundi yang memberi kebebasan kepada anak muda untuk memilih kepimpinan negara. – 15 Disember, 2021.
* P Prabakaran ialah ketua Pemuda PKR Wilayah Persekutuan.
Komen