MENAIKKAN kompaun dalam pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) hanyalah cadangan yang akan diputuskan di Dewan Rakyat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata jumlah muktamad kompaun itu akan diserahkan kepada ahli Parlimen untuk membuat keputusan di Dewan Rakyat.
“Khamis ini ia akan dibahaskan oleh ahli Parlimen untuk kita mendapatkan pandangan dan juga persetujuan mereka.
“Berhubung jumlah itu, kita serahkan kepada ahli Parlimen untuk membahaskannya dan memutuskan jumlah yang sesuai untuk individu dan juga syarikat,” kata Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Akta 342 perlu dipinda bagi membolehkan pesalah individu dikompaun sehingga RM10,000 berbanding RM1,000 pada masa ini, sambil menaikkan kompaun maksimum bagi syarikat dan agensi kepada RM1 juta.
Ini menimbulkan kekecohan daripada ahli politik dan kumpulan masyarakat sivil yang menyifatkan kompaun itu sebagai “drakonian”.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata Pakatan Harapan akan menentang rang undang-undang pindaan kerajaan untuk menaikkan denda, sambil menambah beliau sudah menyampaikan keputusan daripada pembangkang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. – 14 Disember, 2021.
Berita penuh di sini
Komen