PAKATAN Harapan (PH) akan menentang rang undang-undang pindaan kerajaan untuk menaikkan denda kepada RM10,000 bagi individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kata Anwar Ibrahim.
“Selepas meneliti rang undang-undang dan mendengar maklum balas ahli Parlimen, pihak pembangkang memutuskan untuk tidak menyokong rang undang-undang pindaan kerajaan (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit).
“Saya sudah sampaikan keputusan kami kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob,” kata ketua pembangkang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pembangkang mendapati rang undang-undang untuk menaikkan denda dan kompaun itu tidak perlu.
“Ini juga akan membuka ruang penyalahgunaan, rasuah dan amalan pilih kasih apabila menguatkuasakan undang-undang,” kata Anwar.
Awal hari ini, kerajaan membentangkan rang undang-undang pindaan untuk menaikkan kompaun maksimum kepada RM10,000 daripada RM1,000 terhadap individu yang melanggar undang-undang.
Pindaan akta ini (Akta 342) juga termasuk mengenakan kompaun sehingga RM1 juta terhadap organisasi korporat yang ingkar.
Rang undang-undang itu juga mempunyai peruntukan baharu di bawah Seksyen 15A yang memberi kuasa kepada pegawai untuk mengarahkan individu dijangkiti atau dipercayai dijangkiti penyakit, atau sebarang kontak rapat, memakai atau menggunakan alat pengesan.
Sebelum ini, di bawah Ordinan Kecemasan (Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, individu yang melanggar SOP ditetapkan boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 manakala bagi syarikat atau organisasi, penalti adalah sehingga RM50,000.
Seiring tamatnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos, ordinan darurat itu kemudiannya dibatalkan pada 25 Oktober. – 14 Disember, 2021.
Komen