Parlimen pinda Perlembagaan kembalikan kedudukan Sabah, Sarawak


Chan Kok Leong

DEWAN Rakyat meluluskan pada peringkat dasar pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga ahli Parlimen.

Selepas undi belah bahagi, 199 ahli Parlimen menyokong tanpa ada yang membantah atau berkecuali, sementara 21 wakil rakyat tidak hadir.

Pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan kelulusan dua pertiga ahli Parlimen iaitu sekurang-kurangnya 148 orang. 

Awal hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan untuk bacaan kedua empat cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Cadangan pindaan itu dibaca untuk kali pertama pada 3 November.

Empat pindaan itu, yang merupakan sebahagian daripada memorandum persefahaman antara Putrajaya dan Pakatan Harapan (PH) yang dimeterai September lepas, adalah antara janji pembaharuan selepas Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri pada hujung Ogos.

Pindaan itu melibatkan Perkara 1(2), 160(2) dan 161A(6).

Pindaan ke atas Perkara 1(2), yang pertama kali dicadangkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada 2019, akan mentakrifkan semula Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

Pada masa ini, Sabah dan Sarawak dianggap sebagai negeri, sama seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia atau pernah dikenali sebagai Malaya.

Maksud Hari Malaysia

Pindaan Perlembagaan Persekutuan ini juga memberi takrifan kepada Hari Malaysia, yang disambut pada 16 September setiap tahun sebagai cuti umum sejak 2010.

Takrifan itu, yang menyebut Hari Malaysia bermakna “16 September 1963”, dimasukkan pada Perkara 160(2).

Tarikh pembentukan Malaysia sebelum ini tidak pernah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan ini juga menukar maksud “Persekutuan”, juga di bawah Perkara 160(2).

Secara ringkas ia menjelaskan bahawa Persekutuan Malaysia adalah gabungan Malaya yang merdeka pada 1957 dengan Sabah, Sarawak dan Singapura melalui Perjanjian Malaysia 1963, dan perjanjian pemisahan Singapura pada 1965.

Ini secara langsung memasukkan perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963 ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan keempat pula menyentuh kedudukan istimewa Bumiputera Sarawak dengan mentakrifkan ” bumiputera” di wilayah itu sebagai warganegara dan kaum yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Sarawak. – 14 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen