PUTRAJAYA mahu meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ia sudah lapuk, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini di tengah-tengah bantahan daripada ahli politik dan kumpulan hak sivil.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata Akta 342 perlu dipinda agar relevan dengan keadaan semasa dengan mendakwa peruntukan di bawah Ordinan Darurat adalah relevan dalam mengekang penularan Covid-19, pandemik global yang menjejaskan 2.6 juta rakyat Malaysia.
“Ini adalah akta lama yang digunakan selama kira-kira 32 tahun sehingga kini.
“Berdasarkan pengalaman semasa penularan wabak Covid-19, kami merasakan Akta 342 perlu ditambah baik agar ia relevan dengan keadaan semasa dan juga peningkatan teknologi.
“Kami mahu akta ini dipinda secepat mungkin. Agak lama lagi untuk sesi Parlimen akan datang. Kami akan terhalang jika terdapat penyebaran varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam sidang media hari ini.
Noor Hisham berkata akta itu perlu dipinda sekarang bagi memastikan kesinambungan dalam menguatkuasakan piawaian tersebut.
“Jika ini tidak diluluskan maka kompaun maksimum yang boleh kita keluarkan akan dihadkan kepada RM1,000.
“Jadi jika ada syarikat yang ingar tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) maka kita hanya boleh denda RM1,000 kerana ini yang dibenarkan oleh akta sekarang. Jadi ini perlu diubah,” katanya.
Pindaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat awal hari ini termasuk kompaun lebih tinggi ke atas individu yang melanggar SOP Covid-19 daripada RM1,000 kepada RM10,000.
Syarikat atau organisasi pula boleh didenda RM1 juta di bawah pindaan itu.
Pindaan itu juga mencadangkan peruntukan baharu untuk memberi kuasa kepada pegawai memerintahkan individu yang dijangkiti atau dipercayai dijangkiti penyakit atau sebarang kontak rapat memakai atau menggunakan alat pengesan.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata cadangan kenaikan denda dan kompaun adalah tidak perlu dan boleh menyebabkan lebih banyak rasuah dalam penguatkuasaan.
Beliau berkata Pakatan Harapan memaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai keputusannya untuk tidak menyokong rang undang-undang itu apabila ia diundi. – 14 Disember, 2021.
Komen