DALAM menuntut kedudukan sama rata, Sabah dan Sarawak perlu juga adil kepada Semenanjung, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Kepimpinan Sabah dan Sarawak katanya perlu memahami aspirasi kemerdekaan, dan kuasa yang diberi bukan bermakna setiap tindakan boleh diambil dengan sewenang-wenangnya.
“Semangat ini jangan dilupakan, bukan sahaja pemimpin di Semenanjung tetapi di Sabah dan Sarawak.
“Ini bukan peralihan kuasa mereka tetapi kuasa rakyat kerana saya lihat dalam perbincangan ini mereka memohon kuasa yang lebih.
“Contohnya imigresen, bukan untuk disalahgunakan, sampaikan ahli Parlimen (Semenanjung) tak boleh masuk Sarawak. Ini bukan caranya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 yang dicadangkan kerajaan.
“Saya hormat hak itu tetapi nampaknya digunakan termasuk dalam musim pilihan raya ini, menghalang kemasukan ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.”
Menyentuh tentang aspirasi kemerdekaan, Anwar berkata pemimpin Sabah dan Sarawak tidak boleh menafikan peranan pasukan keselamatan yang majoritinya dari Semenanjung turut melindungi dua negeri itu.
Beliau dalam pada itu mengingatkan penubuhan Malaysia adalah untuk menjamin keselesaan dan keadilan kepada semua rakyat.
“Pemimpin Sabah dan Sarawak silih berganti tetapi memunggah kekayaan yang luar biasa dan pada masa yang sama memiskinkan rakyat.
“Ini bukan semangat penubuhan Malaysia. Maka kalau hasil dari persekutuan, perlu diagihkan dengan adil.
“Kalau hasil itu di Sarawak atau Sabah, hasil itu juga harus diagihkan dengan adil. Jangan sampai syarikat dan kawan-kawan pimpinan politik mempunyai kekayaan luar biasa. Ini harus dihentikan dan ditegaskan dalam memaknai semangat Perjanjian Malaysia 1963,” jelasnya. – 14 Disember, 2021.
Komen