97.8% kes baharu Covid-19 kategori 1 dan 2, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 97.8 peratus atau 3,428 kes daripada keseluruhan 3,504 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.

SEBANYAK 97.8 peratus atau 3,428 kes daripada keseluruhan 3,504 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. 

Beliau berkata baki 76 kes baharu atau 2.2 peratus merupakan kategori tiga, empat dan lima. 

Dalam kenyataan mengenai situasi semasa Covid-19 hari ini, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 408 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 206 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes sembuh yang dilapor hari ini adalah 4,401 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,606,309,” katanya.

Menurutnya enam kluster baharu dikenal pasti sekali gus menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 246 daripada keseluruhan 6,043. 

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 12 Disember mengikut negeri menyaksikan Melaka mencatatkan nilai tertinggi sebanyak 1.02, diikuti Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing 1.01, serta Pahang (1.00).

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. – Bernama, 13 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen