PERBICARAAN rasuah solar hibrid Rosmah Mansor telah ditangguhkan buat kali ketiga berturut-turut sejak dua minggu lepas selepas Mahkamah Tinggi diberitahu MySejahtera miliknya masih menunjukkan yang beliau kontak rapat Covid-19.
Peguam utama Rosmah, Jagjit Singh memaklumkan kepada Hakim Mohamed Zaini Mazlan status MySejahtera anak guamnya kekal tidak berubah sejak minggu lepas, memohon maaf kerana terlepas satu hari lagi prosiding mahkamah.
Rabu lepas, Rosmah dilarang masuk ke mahkamah selepas status MySejahteranya menunjukkan beliau kontak rapat kepada pesakit Covid-19, justeru perbicaraannya ditangguhkan semula pada Jumaat, dengan peguamnya menyatakan status MySejahteranya masih jingga.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram hari ini mengulangi gesaannya supaya mengadakan prosiding secara hibrid.
Sri Ram mencadangkan beliau boleh memudahkan Rosmah beri keterangan dari rumahnya, dengan kehadiran beberapa timbalan pendakwa raya, peguam bela dan pegawai mahkamah.
Bagaimanapun, Jagjit berkata Rosmah akan hadir untuk perbicaraan seterusnya, yang dijadualkan pada 23 Disember, memberitahu mahkamah beliau lebih suka perbicaraan itu diadakan secara fizikal di mana semua pihak hadir.
Hakim Zaini berkata walaupun beliau lebih suka perbicaraan diteruskan di mahkamah, mereka juga tidak boleh terus menerus menangguh tarikh perbicaraan.
Jagjit: Arahan saya adalah untuk kekalkan perkara sama seperti pandangan anda minggu lepas, iaitu perbicaraan di mahkamah.
Zaini: Ya. Saya juga mahu begitu tetapi kita sudah tangguh perbicaraan selama tiga hari kerana status beliau (Rosmah). Kita tidak boleh terus begini.
Jagjit: Saya bersetuju dengan anda yang kami telah tangguh tiga hari tetapi kita telah tetapkan tarikh tambahan pada bulan Januari.
Zaini: Ya. Tetapi bagaimana jika statusnya kekal tidak berubah pada tarikh seterusnya?
Jagjit: Saya tidak mahu buat spekulasi apa yang akan berlaku pada masa hadapan Yang Arif. Saya hanya seorang peguam biasa dan jujur menjalankan tugas saya.
Zaini berkata beliau akan mengambil kira permintaan Sri Ram dan beliau perlu membuat peruntukan bagi pendengaran hibrid itu diadakan sekiranya status MySejahtera Rosmah kekal jingga.
Zaini: Saya kena sediakan sebab kita tak boleh teruskan begini. Perbicaraan harus berakhir bagaimanapun.
Jagjit: Kita sedang hampir ke penghujung. Kita ada dua lagi saksi.
Zaini: Tetapi cahaya di hujung terowong semakin malap dan malap.
Jagjit: Dengan hormat, kita berada di penghujung perbicaraan. Percaya yang rakan saya ini ada satu hari untuk soal jawab dengan klien saya.
Zaini: Baiklah, saya akan ambil kira cadangan Sri Ram dan akan teliti peruntukan yang berkaitan (untuk pendengaran hibrid). Jika boleh, saya akan maklumkan kepada semua pihak terlebih dahulu. Itu atas andaian yang status tertuduh kekal jingga. Dengan andaian statusnya kembali kepada biru, maka semuanya baik-baik saja.
Zaini terus mengosongkan perbicaraan hari ini.
Perbicaraan seterusnya dijangka disambung semula pada 23 dan 24 Disember, dengan Rosmah akan menjawab soalan Sri Ram.
Terdahulu pada permulaan pembelaan, mahkamah dimaklumkan akan ada dua lagi saksi selain Rosmah, termasuk bekas pegawai Pejabat Perdana Menteri Azizah Sheikh Abod dan suami tertuduh Najib Razak.
Rosmah, 70, menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk melengkapkan 369 sekolah di luar bandar Sarawak dengan tenaga solar hibrid. – 13 Disember, 2021.
Komen