SERAMAI 956 individu positif Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam berbanding 957 orang pada Sabtu, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Data KKM di laman web CovidNow menunjukkan kadar penggunaan katil turun kepada 64.8%. Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 pula kekal 35.2%.
Tahap serius jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan kemasukan harian ke hospital, manakala kapasiti hospital merangkumi penggunaan katil, bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan alat bantuan pernafasan.
Di Lembah Klang, Selangor merekodkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 tertinggi iaitu sebanyak 229 kes, diikuti Kuala Lumpur (50) dan Putrajaya (13).
Sebanyak 58.1% katil hospital di Lembah Klang adalah pesakit Covid-19.
Di negeri-negeri lain, Johor merekodkan angka kemasukan baharu 170 kes, manakala Sabah (108), Kelantan (71), Negeri Sembilan (52), Perak (42), Terengganu (36), Sarawak (43), Pahang (25), Pulau Pinang (34), Kedah (53), Melaka (17), Perlis (12) dan Labuan (1).
Kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 paling tinggi di Kelantan iaitu 86.8%, naik berbanding 79% pada Sabtu.
Malaysia semalam mencatat 3,490 kes baharu Covid-19, angka terendah sejak 4 Mei, ketika itu 3,210 kes direkodkan.
Pertambahan kes baharu semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara kini mencecah 2.69 juta.
Sementara itu, sebanyak 97.3% atau 22.7 juta individu dewasa di negara ini telah lengkap suntikan vaksin Covid-19, manakala 98.7% atau 23.09 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, 2.72 juta sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2.82 juta atau 89.7% menerima sekurang-kurangnya satu dos. – 13 Disember, 2021.
Komen