Omicron merebak lebih pantas daripada Delta, kata WHO


Omicron lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta dan mengurangkan keberkesanan vaksin, namun gejalanya ringan, kata WHO. – Gambar AFP, 13 Disember, 2021.

VARIAN Omicron lebih mudah berjangkit berbanding varian Delta dan mengurangkan keberkesanan vaksin namun gejalanya ringan, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berdasarkan data awal yang diperolehi.

Varian Omicron yang mula dikesan di Afrika Selatan pada bulan lalu mempunyai sejumlah besar mutasi, dan mencetus kebimbangan di seluruh dunia sehingga bayak negara mengenakan sekatan perjalanan ke atas negara-negara Afrika.

WHO berkata setakat 9 Disember, varian Omicron telah merebak ke 63 negara. Penularan lebih pantas berlaku di Afrika Selatan.

“Bukti awal menunjukkan Omicron menyebabkan keberkesanan vaksin berkurang terhadap jangkitan.

“Berdasarkan data awal yang diperolehi, Omicron berkemungkinan lebih cepat merebak berbanding Delta,” katanya.

Walaupun varian Omicron setakat ini menyebabkan gejala ringan atau langsung tiada gejala, namun itu masih belum cukup untuk menentukan tahap serius varian berkenaan, tambah WHO.

Afrika Selatan mula melaporkan penemuan varian Omicron kepada WHO pada 24 November lalu. Pengeluar vaksin Pfizer/BioNTech pada minggu lepas berkata pengambilan tiga dos vaksin masih berkesan melawan Omicron. – AFP, 13 Disember, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen