2 projek tumpuan dalam pertikaian Dr Mahathir-Tony Pua 


The Malaysian Insight

Projek Exchange 106 salah satu projek yang menjadi tumpuan berikutan pertikaian antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Tony Pua.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.

PERTIKAIAN berterusan antara Dr Mahathir Mohamad dan Tony Pua memberi tumpuan kepada kerja dalaman pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir memulakan dengan mendakwa dalam buku baharunya ‘Capturing Hope: The Struggle Continues’ bahawa sebagai perdana menteri, beliau menerima banyak aduan daripada komuniti perniagaan mengenai seorang setiausaha politik tertentu yang angkuh dan berkelakuan seperti menteri.

Kemudian pada sidang media, ahli Parlimen Langkawi itu menamakan individu berkenaan sebagai Tony Pua, yang merupakan setiausaha politik bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Dr Mahathir menyebut bahawa Pua telah mengugut seorang pemaju Indonesia serta telah bercakap bagi pihak kerajaan mengenai projek mega sedangkan beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Kemudian, pada 7 Disember, Dr Mahathir memberitahu media bahawa beliau juga dimaklumkan oleh ahli perniagaan lain, termasuk seorang Cina, bahawa Pua sangat angkuh dan berkelakuan seolah-olah menteri.

Pua telah menjawab semua tuduhan ini dalam satu kenyataan tiga bahagian.

The Malaysian Insight meneliti dua projek yang terlibat dalam dua tuduhan pertama Dr Mahathir.

Projek Exchange 106

Dr Mahathir menceritakan kejadian Pua telah mengugut seorang pemaju hartanah yang menghadapi masalah kewangan dalam projek usaha sama dengan kerajaan untuk membangunkan kompleks berbilion ringgit di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir menambah bahawa “penasihat DAP ini sebenarnya membuat ugutan ini walaupun pada hakikatnya berbilion-bilion telah dibelanjakan, dan beliau berbuat demikian tanpa merujuk atau mendapat sebarang kebenaran daripada kerajaan.”

Pemaju yang dinyatakan oleh Dr Mahathir ialah Mulia Property Development Sdn Bhd, sebahagian daripada Mulia International Group Indonesia. Projek terbabit ialah Exchange106 yang merupakan sebahagian daripada kontroversi Tun Razak Exchange3, yang merupakan legasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pemilik utama Mulia ialah seorang pelarian warga Indonesia yang terkenal – Djoko Tjandra4, yang juga dikenali sebagai Joe Chan atau Pak Joe.

Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani semasa pentadbiran Najib Razak, kerajaan bersetuju untuk memberi pinjaman kepada pemaju dengan syarat tertentu, termasuk keseluruhan projek diserahkan kepada kerajaan jika ia tidak mengikut jadual.

Pada 2016, bekas perdana menteri Najib telah bersetuju menerima dana RM1.8 bilion untuk projek itu melalui jaminan kerajaan untuk menyelamatkannya, sebagai pertukaran untuk 51% pemilikan “sementara” Kementerian Kewangan ke atas pemaju Mulia Property Development.

Sekiranya Mulia gagal membayar balik pinjaman RM1.8 bilion dalam tempoh 36 bulan, Kementerian Kewangan berhak membeli baki 49% dengan harga RM1.

Exchange 106 seterusnya menjadi projek pertama yang akan disiapkan dalam TRX.

Pua menjawab dengan mengatakan bahawa Dr Mahathir sangat selektif dalam ingatannya, lebih suka mempercayai kata-kata seorang taikun asing, yang sebelum ini disabitkan kesalahan menipu ratusan bilion rupiah dari Bank Bali pada 2009; dan seterusnya disabitkan sekali lagi kerana penyelewengan pada 2020 dan rasuah pada 2021.

“Saya telah menjelaskan bahawa saya tidak pernah mengugut pemaju yang dirujuk oleh Dr Mahathir, Djoko Tjandra, kerana saya tidak pernah berjumpa atau bercakap dengannya. Semua perbincangan dan rundingan yang diluluskan oleh menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng, diketuai oleh pegawai tertinggi kementerian dan saya tidak pernah hadir pada majlis itu,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Projek MRT2

Projek kedua yang dirujuk Dr Mahathir dalam menonjolkan “keangkuhan” Pua ialah projek MRT2, khususnya surat terbuka lelaki DAP itu kepada pengarah MMC-Gamuda pada 2018.

“Ia adalah surat yang kekal lama dalam ingatan Dr Mahathir. Malah pada lewat 2019, lebih setahun selepas surat itu diterbitkan dan perkara-perkara yang terlibat telah lama diselesaikan, Dr Mahathir masih merungut mengenainya dalam perbualannya dengan Lim,” kata Pua.

Projek MRT 2 untuk laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya merupakan satu daripada beberapa projek mega yang dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional yang menyaksikan kosnya dirasionalisasikan di bawah kerajaan PH.

Projek itu diusahakan oleh MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd, yang merupakan usaha sama antara MMC Corp dan Gamuda Bhd.

MMC-Gamuda memperoleh kontrak itu pada 2014 dengan kos permulaan RM28 bilion, namun kos itu kemudian meningkat kepada RM39.35 bilion atau RM56.93 bilion apabila tanah dan kos lain dimasukkan.

Kementerian Kewangan kemudiannya berkata bahawa kenaikan kos itu disebabkan sambungan talian ke Bandar Malaysia, perubahan skop dan kejatuhan nilai ringgit.

Kontraktor kemudiannya menawarkan untuk menyiapkan bahagian atas tanah projek itu secara turnkey pada RM17.42 bilion, yang lebih rendah daripada kos unjuran RM22.64 bilion. 

Kerajaan PH mempertimbangkan untuk membuat tender semula bahagian bawah tanah, tetapi pada 26 Oktober 2018 ia memutuskan untuk mengekalkan MMC-Gamuda sebagai kontraktor selepas menurunkan kos bahagian itu daripada RM16.71 bilion kepada RM13.11 bilion.

Rasionalisasi itu menyaksikan kos projek dikurangkan daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion, menghasilkan penjimatan sebanyak RM8.82 bilion.

Ini bermakna pengurangan sebanyak 22.4% daripada kos asal yang dirundingkan oleh kerajaan.

Penjimatan kos telah dicapai, walaupun dengan beberapa perubahan termasuk menukar model Rakan Kongsi Penyampaian Projek kepada kontrak turnkey, rasionalisasi dalam peruntukan bayaran balik, luar jangka dan jumlah sementara, penangguhan stesen Bandar Malaysia, dan rasionalisasi skop untuk kerja-kerja sistem elektrik dan mekanikal.

Pua menambah, beliau tidak menyesal menulis surat itu.

“Saya tidak menyesal menulis surat terbuka itu, walaupun Dr Mahathir masih marah mengenainya (sehingga dia benar-benar memasukkannya dalam memoirnya. Ia banyak menceritakan tentang lelaki itu apabila dia memilih untuk tidak merekodkan penjimatan RM8.82 bilion untuk rakyat untuk projek MRT2 di bawah tampuk pemerintahannya dalam memoirnya, tetapi sebaliknya merengek tentang seorang setiausaha politik yang nampaknya menjengkelkan,” katanya menjawab serangan Dr Mahathir terhadapnya.

Pua juga berkata bahawa bos MMC-Gamuda mempunyai akses terus kepada Dr Mahathir, mendedahkan penemuan perunding kejuruteraan bebas dan mendakwa bahawa syarikat itu melancarkan kempen media sosial mengenai 20,000 kehilangan pekerjaan yang boleh berlaku jika projek itu dimansuhkan.

Gamuda Engineering, bagaimanapun, mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan dakwaan ini, sambil menambah bahawa ia adalah fitnah dan tidak berasas.– 13 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen