PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menyelar kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semalam yang mengatakan ia tidak akan menyerahkan kerusi ditandingi mereka kepada parti dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Biro Strategi dan Dasar Bersatu Dr Rais Hussin berkata, perundingan kerusi untuk PRU14 di antara parti PH masih lagi berjalan dan pengumuman seperti ini tidak menghormati kesepakatan dalam gabungan itu.
“Sebarang pengumuman secara unilateral kepada media tidak begitu membantu terutamanya ketika rakan PH mempunyai persefahaman,” kata Rais kepada The Malaysian Insight.
“Demokrasi memerlukan kerja keras dan membina satu gabungan kuat memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan.”
Rais berkata, Bersatu menghormati prinsip bersama dipersetujui Majlis Presiden dan Majlis Setiausaha PH serta tidak akan menghebohkannya kepada umum.
“Adalah penting untuk kita kekal fokus memenangi pilihan raya melalui perundingan bersama.
“Kita sudah bersetuju secara kolektif untuk membiarkan perundingan kerusi di belakang tabir berjalan berdasarkan kepada sesetengah parameter yang dipersetujui,” katanya.
Semalam Saifuddin berkata, PKR tidak akan menyerahkan kerusi mereka kepada rakan PH sekalipun bagi kerusi yang mereka kalah pada PRU13.
“Kami tak boleh berikan kepada sesiapa,” kata Saifuddin semasa berucap di kongres PKR di Shah Alam semalam.
Semasa PRU13, PKR bertanding di 99 kerusi Parlimen tetapi hanya memenangi 30 daripadanya. Sementara DAP yang bertanding 51 kerusi Parlimen, menang 38 kerusi.
Pengumuman Saifuddin semalam dilihat menyukarkan lagi gabungan PH terutamanya kepada parti baru seperti Bersatu dan Amanah. – 22 Mei, 2017.
Komen