Najib bidas kritikan berhubung isu main golf di Singapura


Alfian Z.M. Tahir

Gambar Najib Razak bersama ahli perniagaan Singapura Sam Goi Seng Hui yang menjadi tular. – Gambar Facebook, 12 Disember, 2021.

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang ke Singapura bulan lepas untuk bersama anak perempuan dan cucu baharu membidas kritikan yang dibuat terhadapnya selepas gambar bermain golf dengan rakan di republik itu menjadi tular.

Dalam catatan di Facebook Najib mempersoalkan kenapa beliau tidak boleh bermain golf dan adakah dia perlu duduk bersama anak perempuan serta cucunya sepanjang masa.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap imej media sosial beliau bersama ahli perniagaan Singapura Sam Goi Seng Hui yang merupakan kenalan rapat kepada ahli Parlimen Pekan berkenaan.

Najib dilihat bergambar dengan Sam di sebelah Rolls Royce dan bermain golf bersama-sama.

Sebelum lawatannya ke Singapura Najib memohon mahkamah membenarkannya terbang ke republik itu atas alasan mahu berjumpa cucunya yang baru lahir.

Mahkamah membenarkan permohonannya dan pasportnya dikembalikan buat sementara waktu sehingga 6 Disember.

“Ini pun jadi isu? Tak kan saya bersama cucu 24 jam setiap hari selama tempoh 6 hari saya berada di Singapura?,” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini. 

Najib berkata Sam memiliki Sutera Harbour Resort di Sabah dan merupakan peminat dasar ekonomi Malaysia dan pembangunannya semasa menjadi perdana menteri.

“Sam kata dia adalah peminat dasar-dasar ekonomi dan pembangunan saya semasa saya PM dan minta untuk diperkenalkan dengan saya.

“Masa kita bertemu, dia banyak meminta pandangan saya tentang hala tuju pembangunan dan ekonomi negara sebab dia ingin lebih melabur di Malaysia.

“Adakah ia salah bagi saya untuk gunakan masa peribadi saya untuk beri pandangan saya kepada pelabur asing yang ingin melabur ke Malaysia biarpun saya bukan PM lagi dan bukan menteri?,” katanya.

Pada Julai tahun lalu Najib didapati bersalah atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Minggu lalu Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib sejurus selepas pulang dari Singapura.

Hukumannya ditangguh sementara menunggu rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. – 12 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen