M. VASANTHAPIRIYA, pelajar berusia 13 tahun yang cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon iPhone 6 gurunya, merupakan seorang remaja yang pendiam dan pemalu, kata seorang bekas gurunya.
Pernah mengajar Vasanthapiriya beberapa tahun dulu, dia berkata remaja itu tidak pernah menghadapi masalah disiplin.
“Dia tak pernah ada masalah. Dia pendiam dan pemalu.
“Saya ingat lagi ayahnya yang penyayang. Ayahnya akan hantar dan jemput dia di sekolah.
“Saya tak rasa dia ada masalah disiplin, tapi tentulah, kita tak tahu apa sebenarnya berlaku antara dia dan guru dia fasal telefon itu,” katanya kepada pemberita di luar kediaman keluarga Vasanthapiriya.
Pelajar Tingkatan Dua SMK Nibong Tebal itu, yang merupakan anak bongsu dari empat beradik meninggal dunia selepas seminggu berada dalam keadaan koma di Hospital Seberang Jaya pagi tadi.
Vasanthapiriya didakwa disoal oleh tiga orang guru, dan dipukul oleh salah seorang guru berkenaan di hadapan pelajar lain serta dikurung dalam sebuah bilik di bilik guru selama hampir lima jam.
Selepas dibawa pulang oleh guru berkenaan bersama suami untuk berbincang dengan ibu bapa pelajar itu, Vasanthapiriya mengunci diri di biliknya.
Ibu bapanya yang pulang pada waktu malam mendapat Vasanthapiriya tidak menjawab selepas mereka memanggilnya berulang kali.
Bapanya kemudian bertindak memecah masuk ke bilik dan mendapati remaja itu tergantung dengan selendang yang diikat pada paip.
Dia masih hidup ketika ditemui dan dilaporkan meninggalkan nota membunuh diri yang mengatakan dia tidak mencuri telefon gurunya. Dia juga mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa dan neneknya.
Bekas guru Vasanthapiriya, yang enggan namanya didedahkan berkata membawa pelajar pulang ke rumah bukan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) guru.
“Saya tak tahu kenapa mereka tidak ikut SOP. Saya dengar, suami guru itu sendiri seorang guru.
“Malah dalam kes-kes melibatkan pelajar sakit atau cedera, guru tidak boleh bawa keluar dari kawasan sekolah. Mereka perlu panggil ibu bapa datang ke sekolah.
“Pelajar boleh dibawa keluar dari kawasan sekolah hanya dengan kebenaran ibu bapa.”
Bercakap berdasarkan pengalamannya sendiri sebagai guru, pelajar yang mempunyai maslaah disiplin perlu dirujuk kepada guru disiplin atau pengetua. – 1 Februari, 2018.
Komen