BEKAS perdana menteri Najib Razak yang disabitkan bersalah boleh memegang jawatan itu semula jika rakyat Malaysia tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Dr Mahathir Mohamad.
“Jika anda bertanya kepada saya, bolehkah beliau membuat kemunculan semula, saya akan mengatakan ia satu kemungkinan. Najib boleh mendapat pengampunan diraja dan beliau boleh bertanding dan boleh menjadi perdana menteri semula jika partinya menang,” katanya semasa pelancaran buku terbarunya Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Personaliti berusia 96 tahun itu yang pernah menjadi perdana menteri dua kali berkata, PRU akan datang mungkin menentukan sama ada Malaysia boleh bebas daripada rasuah.
“Pilihan raya ini akan menjadi amat penting. Sama ada anda menggunakannya untuk menghapuskan penyangak atau membenarkan mereka kembali. Jika mereka menang ini bermakna berakhirnya perjuangan untuk menamatkan rasuah sebagai kerajaan yang korup dan mereka akan terus berkuasa melalui rasuah.”
Beliau berkata, walaupun ramai rakyat Malaysia menyatakan mereka sudah muak dengan politik negara, ironinya, perasuah akan menang.
“Jika anda tidak keluar mengundi menentang mereka, mereka akan membentuk kerajaan kerana mereka akan membawa penyokong mereka.
“Penyokong ini akan menyokong mereka kerana mereka dibayar wang. Mereka yang menentang rasuah dan mahu tadbir urus yang baik mesti keluar dalam jumlah untuk mengundi orang yang tidak mempunyai rekod jenayah dan salah guna kuasa. Pilihan raya akan datang sangat penting.
“Pilihan raya akan datang peluang terakhir Malaysia untuk membersihkan negara. Jika tidak, anda akan selama-lamanya mempunyai kerajaan yang buruk,” kata bekas pengerusi Pakatan Harapan itu, yang kini mengetuai parti pembangkang Pejuang tetapi bukan sebahagian daripada gabungan itu.
Mengenai sebab beliau fikir Najib boleh membuat kemunculan semula, Dr Mahathir berkata, banyak “perkara pelik” berlaku semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional sekarang.
“Apabila Anwar Ibrahim ditahan, beliau ditahan sepanjang masa walaupun sebelum pertuduhan dibuat.
“Tetapi dalam kes Najib, walaupun beliau didapati bersalah oleh mahkamah undang-undang, beliau tidak dilayan sebagai banduan tetapi sebagai orang biasa,” kata Dr Mahathir.
“Najib pergi ke Parlimen untuk berucap, berkempen (dalam pilihan raya) malah pergi ke luar negara. Banyak perkara dilakukan oleh dua kerajaan terakhir yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.”
Dr Mahathir berkata, beliau menjangkakan PRU15 akan diadakan sekitar pertengahan 2022. Penggal Parlimen hanya tamat pada tahun berikutnya. – 12 Disember, 2021.
Komen