Tony Pua sosialis, kata Dr Mahathir


Chan Kok Leong

Tony Pua tidak suka ahli perniagaan, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2021.

TONY Pua seorang sosialis yang tidak suka dengan ahli perniagaan, kata Dr Mahathir Mohamad, menjawab balasan ahli Parlimen DAP itu kepada kritikan beliau terhadapnya.

“Orang berniaga ini dari segi istilahnya kapitalis tetapi dia ini tidak suka kapitalis. Dia ini seorang sosialis walaupun saya ada pandangan yang lain. 

“Saya percaya bahawa kapitalis, dengan pelaburan mereka, boleh mencipta pekerjaan tetapi dia ingat saya buat semua itu kerana mereka kapitalis. Itu tidak betul,” kata Dr Mahathir semasa pelancaran memoir terbarunya Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir menafikan beliau memihak kepada ahli perniagaan kerana mereka kroni.

“Saya ada (berkawan) banyak ahli perniagaan yang gagal pun. Kalau gagal mereka bukan kroni saya tetapi kalau berjaya, kroni saya. Yang berjaya hanya sikit saja.

“Saya tidak memihak pada mereka kerana mereka kapitalis. Kerja kita ialah memberikan kehidupan yang baik kepada semua orang di Malaysia, yang kaya dan miskin dan berbilang bangsa. Kita hendak majukan negara.

“Ini tidak boleh dibuat dengan hanya orang kaya saja sebab yang miskin pun perlu kerja,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata beliau biasa bekerjasama dengan pihak kesatuan sekerja, cuma Pua saja yang tidak sedar.

“Saya mesra dengan kesatuan sekerja dan mereka bekerjasama dengan saya kerana apa yang saya buat menguntungkan mereka.

“Tetapi Tony Pua tidak nampak dan apa yang saya kata betul, bahawa dia berlagak macam menteri dan mendatangkan banyak masalah kepada suasana berniaga di negara ini,” katanya.

Bekas perdana menteri menafikan dakwaan Pua bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai tingkah lakunya semasa jadi setiausaha politik kepada bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dalam pentadbiran Pakatan Harapan. 

“Saya panggil Lim dan beritahu dia ini (Pua) mendatangkan banyak masalah dan berlagak macam seorang menteri, memanggil pegawai kerajaan dan berjumpa dengan banyak ahli perniagaan.

Dr Mahathir mengaku pegawai menteri yang beliau maksudkan dalam bukunya, yang dilaporkan media  dan jadi pertikaian terbuka sejak beberapa hari lalu, adalah Pua.

“Saya tidak sebut nama pun tetapi dia faham itu dia. Ini sendiri pun bukti apa yang saya kata betul. 

“Kenapa dia jawab kalau itu orang lain?” tanya bekas perdana menteri.

Awal hari ini, Pua dalam balasan ketiganya kepada kritikan Dr Mahathir, mencabar bekas perdana menteri menamakan ahli perniagaan yang menyifatkannya berlagak.

Pua juga mendakwa Dr Mahathir tidak pernah memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan keadaan. 

Dalam forum selepas pelancaran bukunya hari ini, Dr Mahathir berkata, Pua tidak berperanan sebagai setiausaha politik sebaliknya cuba berlagak seperti menteri kewangan.

Jelas bekas perdana menteri, jawatan setiausaha politik diwujudkan semasa pentadbiran Tun Abdul Razak pada tahun 1970-an.

“Pada masa itu, banyak penyokong kerajaan merungut kata mereka tiada peranan dalam kerajaan. Menteri juga mengeluh mereka tidak boleh kendali kawasan.”

Untuk itu, kerajaan memperkenalkan jawatan setiausaha politik untuk membantu menteri mengendalikan urusan di kawasan yang mereka wakili, jelasnya.

Tugas setiausaha politik ialah berhubung dengan pengundi dan mendengar keluhan mereka serta memahami isu politik dan melaporkannya kepada mereka supaya mereka tahu apa yang berlaku di peringkat akar umbi.

“Ini supaya menteri boleh jawab rungutan itu dengan wajar,” kata Dr Mahathir.

“Sebaliknya Pua tidak main peranan itu tetapi berlagak macam dia menteri dan ada kuasa menteri.

“Apa yang dia buat ialah jumpa dengan ahli perniagaan yang bukan di kawasan pilihan rayanya dan berlagak macam menteri kewangan. Dia hendak pasti benda berjalan,” katanya.

Mengenai jawapan Pua yang beliau hanya campur tangan dalam satu kes, Dr Mahathir berkata, ada beberapa kes lain tetapi pemimpin DAP itu katanya akan nafi.

Ditanya sama ada siapa yang bercakap betul, Dr Mahathir berkata “terpulang kepada rakyat untuk menentukan”. – 12 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen