PERTEMUAN antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan 41 pertubuhan belia akan diadakan pada Selasa bagi membincangkan isu berkaitan pelaksanaan Akta 668 membabitkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun.
Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu, berkata antara perkara yang dibincangkan adalah untuk mencari jalan penyelesaian berkaitan pelaksanaan Akta 668 bagi memastikan situasi menang-menang antara kerajaan dan pertubuhan belia.
“(Pertemuan) itu bagaimana hendak aturkan adanya situasi menang-menang mengikut apa kerajaan hendak lakukan dan apa kehendak yang hendak kita sesuaikan dengan pertubuhan belia ini,” katanya kepada media pada program KayuhLasak Shapadu-KBS Putrajaya 2021 di Putrajaya hari ini.
Ditanya jika ada persatuan belia yang tidak bersetuju dengan penurunan had umur belia, Ahmad Faizal berkata, majoriti sudah bersetuju.
“Saya dapati mereka bukan tidak setuju, mereka setuju tetapi mereka memerlukan sedikit masa untuk penyelesaian mudah kerana ada pertubuhan sudah adakan mesyuarat awal untuk buat pemilihan tahun hadapan dan jika kita tetapkan pada 1 Januari (pelaksanaan) maka usaha yang mereka buat sebelum ini terbantut.
“Jadi ini perkara yang sedang kita kaji dan akan kita cari titik penyelesaian supaya semua pihak lega dan wartakan Akta 668 ini dengan sebaiknya,” katanya.
Pada 17 November, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen bahawa pelaksanaan akta mengehadkan umur untuk memegang jawatan dalam persatuan belia daripada 40 ke 30 tahun bermula 1 Januari.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, KBS sentiasa memantau rapat keadaan pemain Malaysia yang sedang menyertai kejohanan di luar negara.
“Kita memantau perkembangan kesihatan pemain bukan sahaja pemain bola sepak di Singapura tetapi juga dengan pemain hoki wanita kita di Korea Selatan dan setakat ini Alhamdulillah mereka yang dijangkiti (Covid-19) tidak kritikal,” katanya.
Terdahulu, empat pemain Malaysia pada Piala AFF di Singapura disahkan positif Covid-19 bermula dengan penjaga gol, Khairulazhan Khalid diikuti Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Quentin Cheng. – Bernama, 12 Disember, 2021.
Komen