Teruskan projek pembetungan, jalan raya kami segera, kata penduduk Taman Melawati


Alfian Z.M. Tahir

Penduduk Taman Melawati melakukan protes mengenai projek pembetungan yang tergendala di kawasan mereka hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Disember, 2021.

PERSATUAN Penduduk Taman Melawati (TMRA) menggesa Putrajaya campur tangan bagi menamatkan ketidaktentuan mengenai projek pembetungan yang tergendala di kawasan itu yang hampir tujuh tahun tidak siap.

Pengerusinya, Azhari Abd Taharim berkata penduduk diberi janji palsu selama bertahun-tahun oleh pemaju - Puncak Niaga Construction (PNC) Sdn Bhd - walaupun projek itu sepatutnya disiapkan pada 2018.

“Pada masa ini terdapat lima projek pembetungan yang tergendala di Taman Melawati dan projek itu diberi lanjutan masa (EOT) sehingga 2022 tetapi seperti yang anda lihat, tiada apa yang berlaku. Penduduk diberitahu tiada bajet untuk meneruskan projek selain beberapa alasan termasuk pertukaran pengurus projek.

“Sejak tujuh tahun lalu kami berdepan kesukaran dan kesusahan setiap hari akibat kerja pembetungan terhenti secara tiba-tiba dan kerja yang tidak disiapkan menyebabkan kesulitan dan bahaya kepada masyarakat setempat.

“Kami amat kecewa menyaksikan episod kerja menaik taraf pembetungan yang terbantut dan tidak progresif yang tidak berkesudahan, mengakibatkan keadaan jalan yang teruk serta berbahaya kepada pemandu dan pejalan kaki.

“Keadaan jalan itu menyebabkan kemalangan dan kenderaan penduduk rosak sejak sekian lama,” kata Azhari.

Pagi ini, Azhari bersama 20 penduduk Taman Melawati menganjurkan protes aman menuntut PNC menutup lubang dan hanya membuka semula lubang apabila kerja sebenar bermula.

Penduduk turut mendesak jalan yang ditutup dibuka semula bagi mengelak kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

“Setiap pagi, trafik teruk kerana jalan ditutup akibat projek itu. Tetapi projek itu tidak berfungsi pun. Jadi jalan yang ditutup menyebabkan lalu lintas teruk kepada penduduk di sini.

“Buka semula jalan raya, tutup lubang dan hanya tutup jalan semula apabila kerja hakiki diteruskan,” katanya.

Projek pembetungan itu dimulakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA).

Pada masa ini, projek yang belum diselesaikan itu sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) di bawah bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Menurut Azhari, persatuannya mengemukakan banyak aduan kepada pihak berkuasa berkaitan tetapi tiada jawapan diterima.

“Pihak berkuasa berkenaan nampaknya tidak serius untuk menyelesaikan masalah besar ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Shahrim Tamrim memberitahu The Malaysian Insight tiada apa-apa yang sudah diselesaikan walaupun pentadbiran kerajaan bertukar tiga kali.

“Kami mahu Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man campur tangan dan segera dengan segala cara yang mungkin, untuk menamatkan ketidaktentuan projek pembetungan yang terhenti.”

Katanya, penduduk diberi tarikh baharu untuk menyiapkan projek itu namun ramai yang tidak yakin.

“Sejarah membuktikan semua janji ini hanya sia-sia. Justeru, kami menuntut PNCSB mematuhi tarikh akhir dan menyelesaikan tugas di semua tapak sedia ada.”

“Beri kami garis masa terperinci projek sehingga siap mengikut tarikh akhir terkini serta laporan kemajuan terperinci daripada PNCSB sejurus selepas setiap mesyuarat kemajuan,” katanya.

Protes pagi ini berlangsung secara aman dan beberapa pegawai polis hadir untuk memantau keadaan.

Tiada seorang pun ditahan kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi itu. – 12 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen